Friday, March 13, 2009

Mini Bajet: Tok Guru setuju tindakan TPM

sinar harian

Edisi Kelantan - Berita Utama - 13hb Mac 2009

MB mahu projek dibuat secara tender terbuka

PASIR MAS – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, belia menyokong tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengenepikan fahaman politik dalam pelaksanaan bajet mini sebanyak RM60 bilion.

Menurutnya, bajet mini yang dibentangkan bukanlah berdasarkan gimik politik yang dibuat semata-mata dengan keadaan ekonomi yang gawat ini.

“Saya berharap bajet yang dibentangkan itu bukanlah satu gimik politik tetapi keikhlasan untuk membantu rakyat dalam menempuhi kegawatan ekonomi dunia yang turut menjejaskan ekonomi negara.

“Saya juga berharap pelaksanaan seharusnya bernas dan merangsang kepada ekonomi bagi membantu rakyat menghadapi krisis kegawatan ekonomi ini,” katanya selepas merasmikan peletakan batu asas pembinaan Kompleks Tarbiyah Islamiah Chetok, dekat sini, semalam.

Mursyidul Am Pas itu berkata, sekiranya mahukan seruan ketepikan fahaman politik seperti yang dikatakan Najib dilaksanakan, beliau mahu projek-projek di Kelantan hendaklah dibuat secara tender terbuka.

Katanya, salah satu contoh projek yang diberikan kepada orang politik ialah Projek Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra kerana beliau difahamkan tender projek itu diberi bukan secara terbuka dan kini ia terus tertangguh selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dua tahun lepas.

“Ini merupakan satu masalah dan akan menyebabkan keadaan tidak akan selamat dan bersatu sekiranya selalu bermain politik,” katanya.

Menurutnya, mengenai penjualan bon syariat, beliau mendapati UMNO mulai sedar sistem ekonomi Islam terbukti mantap.

“Saya menyambut baik cadangan tersebut untuk melaksanakan dasar ekonomi secara Islam kerana ia selari dengan matlamat dan dasar perjuangan Pas.”

Justeru katanya, penting setiap rakyat dan pemimpin diberi penekanan soal tarbiyah Islam kerana melalui tarbiyah itulah dapat mendidik seseorang itu mengikut landasan Islam sebagaimana diterima oleh Nabi,” katanya.

Ditanya mengenai kawasan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang disifatkan polis sebagai kawasan panas, Nik Aziz berkata, keadaan itu dapat disejukkan jika pengundi dan rakyat sendiri sedar dan mempunyai pegangan berasaskan kepada tarbiyah Islamiah.

“Kita melihat sekiranya kita sering menyebut tentang Melayu, kaum lain akan terasa dan marah begitu juga sebaliknya.

“Tetapi apabila mempunyai pegangan tarbiyah Islamiah ini, ia dapat memberikan mengurangkan ‘panas’ seperti yang di nyatakan,” katanya.

No comments: