Monday, July 14, 2008

Protes: Komen Terhadap Tindakan Pemuda PAS



Pemuda PAS pengecut, ibarat tin kosong?


Tinta Emas Jul 10, 08 3:55pm


malaysiakini

Perhimpunan aman Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) yang berlalu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak di seluruh peringkat.

Saya sebagi pemerhati senario politik tanah air, yang juga mengikuti perkembangan segala bentuk usaha pembangkang memperjuangkan hak rakyat, berasa amat kesal apabila terlalu banyak pihak tampil untuk menjadi hero, seolah-olah merekalah yang mengerti "perjuangan Islam".


Protes tidak terlepas daripada pemerhatian saya, dari peringkat awal lagi. Malah saya sangat yakin bahwa kenyataan media dan pelbagai pendirian dan pandangan yang dikemukakan di media mutakhir ini datang daripada manusia yang teramat ego, dan amat malang sekali mereka ini sedikit pun tidak tahu akan perjalanan sebenar Protes kali ini.


Dari peringkat awal lagi, sebenarnya saya amat kesal apabila tiada seorang pun wakil Pemuda PAS yang sanggup turun padang bagi menyertai aktiviti Protes ini. Tahukah kalian bahawa betapa Dr Mohd Hatta Ramli dan beberapa anggota jawatankuasa Protes daripada PAS terlalu mengharapkan kehadiran para pemuda kita.


Namun nyata segalanya hampa. Bagaimanapun, dengan segala daya yang ada, beberapa orang anggota jawatankuasa gabungan ini mempertahankan perjuangan kita masih perlu diteruskan. Saya pernah bertanya di mana Pemuda PAS tatkala mesyuarat Protes dikuasai oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK)?


Saya kesal kerana dalam hal ini, di peringkat awal lagi, Pemuda PAS kelihatan pengecut. Mereka menjadi tin kosong yang begitu hebat berbunyi. Ketidakbijaksanaan Nasruddin Tantawi menguruskan isu ini sekali lagi menyebabkan saya hilang kepercayaan dengan Pemuda PAS.


Apapun, seorang pemimpin sepertinya tidak harus bertindak membincangkan isu yang bersifat dalaman dengan menggunakan media yang menjadi tatapan umum (blog). Sudahlah Pemuda begitu bongkak dengan tidak menghantar wakil ke mesyuarat Protes, pelbagai kenyataan dan "hukuman" pula yang kalian berikan.


Sepatutnya Pemuda PAS yang begitu lantang bersuara perlu berasa malu dengan apa yang terjadi. Saya tahu Pemuda telah menghantar wakilnya di saat-saat akhir, pun begitu kehadiran wakil Pemuda begitu dihargai.


Bukankah pengisian program telah diamanahkan kepada Pemuda PAS sebagai wakil daripada parti? Apabila pengisian tidak seperti yang diputuskan dalam mesyuarat, maka siapakah yang harus dipertanggungjawabkan? Bukankah unit pengisian itu sendiri? Kenapa dalam hal ini Pemuda begitu rakus menunjukkan sifat tidak bertanggungjawab dan pengecut?


Tahukah kalian bahawa begitu tinggi harapan yang diletakkan oleh Dr Mohd Hatta kepada wakil daripada Pemuda yang duduk dalam unit pengisian ini untuk memastikan program berjalan lancar? Kegagalan kalian ini, tidakkah kalian harus insafi dan bukannya meletakkan kesalahan itu kepada insan yang telah meletakkan harapannya pada kalian? Malah bukan Dr Mohd Hatta sahaja yang meletakkan harapan beliau, beberapa anggota jawatankuasa Protes bukan muslim juga meletakkan harapan mereka. Tetapi kalian tewas kerana ego kalian.


Apakah Pemuda fikirkan bahawa dengan sikap ini mereka mampu menjadi ejen untuk memasyarakatkan PAS? Tahukah kalian, tindakkan kalian "melarikan diri" sewaktu program sedang berjalan adalah tindakan yang diambil atas rasional politik semata tetapi dari aspek dakwah jelas kalian masih mentah. Tidakkah apa yang berlaku di perhimpunan Protes tempoh hari adalah realiti masyarakat kita pada hari ini? Adakah dengan melarikan daripada tanggungjawab terhadap insiden itu kalian telah menyelesaikan tugas dakwah kalian?


Melarikan diri dari mad'u (sasaran dakwah)! Amat memalukan. Lupakah kalian pada sejarah yang dilakar oleh Hassan al-Banna yang melangkah masuk ke disko, lalu menyebutkan satu kalimah sebagai usaha beliau untuk mengingatkan para anak muda yang ada dalam disko tersebut, dan kalimah tersebut hanyalah Allah.


Nah, sekarang persoalkan pada diri kalian, apakah yang telah kalian sampaikan pada anak muda dan masyarakat yang memerlukan sinar dakwah pada insiden itu? Mampukah untuk kalian menjawab? Saya berasa insaf atas apa yang berlaku, dan ini juga menunjukkan kelemahan PAS dalam aspek dakwah. Kita terlalu ghairah mengisi cabang politik sehingga dakwah bil hal kita, pada keadaan yang memerlukan, amat mengecewakan.


Tahukah kalian seorang anggota jawatankuasa Protes yang berbangsa Cina telah memeluk (ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan) Kamarulzaman Mohamad tetapi Kamarulzaman telah menepisnya di khalayak ramai. Di manakah akhlak Islam kita? Kita harus keras dalam mempertahankan hukum kita, tetapi kita harus selembut-lembutnya dalam menyampaikan. Jelas, Pemuda tidak menjelaskan apa-apa kepada mad'u kita pada insiden itu, sebaliknya melarikan diri dengan penuh amarah. Beginikah tarbiyyah PAS? Beberapa masa dahulu ada disebut tentang "ego orang agama" - nah tahniah kepada Pemuda PAS kerana buktikan tuduhan tentang "ego orang agama" tersebut.


Saya tetap tidak bersetuju dengan tindakan Pemuda PAS yang melarikan diri itu walau apa pun alasannya. Kita semua sayangkan Islam, kalau tidak, mengapa kita berada dalam PAS? Ketahuilah bahawa tiada sesiapa yang menerima tarbiyyah daripada PAS yang bersetuju dengan apa yang terjadi. Jangan terlalu berasa hebat sehingga memperlekehkan barisan pimpinan yang ada.


Saya juga kesal dengan PAS Kemaman yang mahukan pemimpin PAS memohon maaf secara terbuka. Sikap semborono menghentam pimpinan tanpa asas dan berdasarkan khabar angin perlu dihentikan. Bersifatlah seperti seorang budiman, bersemuka dan minta jawapan daripada apa yang berlaku, bukan dengan menghentam begitu.


Untuk pengetahuan, Nasharuddin Mat Isa tidak hadir pada malam itu. Justeru, berhati-hatilah menyusun bicara. Mudah untuk kalian berbicara, tetapi bukan kalian yang keluar masuk lokap beberapa kali untuk rakyat, dan bukan kalian yang mengusahakan ikat jamin dan urusan guaman, malah mungkin kalian tidak tahu dan tidak pernah mengambil tahu.


Saya mengharapkan sedikit coretan saya ini dapat menyedarkan kita daripada segala macam kesilapan, dan janganlah kita terus mengulangi segala kesilapan kita.


Buat Pemuda, saya rasa sudah tiba masanya kalian menjadi lebih realistik dan jatuhkan sedikit ego kalian, ayuh mantapkan medan dakwah dan telusuri seni dakwah dan kepimpinan. Bagaimana untuk memimpin negara andai kelompok kecil begini kita sukar menguruskannya? Kepada Dr Mohd Hatta dan jawatankuasa Protes, yakinlah Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Belajarlah daripada apa yang terjadi, dan bijaklah dalam merangka dan menggerakkan program- program yang melibatkan orang-orang luar apatah lagi jika ia melibatkan Angkatan Muda Keadilan.


Apa pun, saya memandang perkara ini dari sudut positif - PAS perlu lebih memperkasakan gerakan dakwahnya, dakwah dan siasah harus seiring. Maafkan saya andai coretan ini menyakitkan hati pelbagai pihak. Ia sekadar perkongsian ikhlas. Wallahu a'lam.

Friday, July 11, 2008

TV3 Merapu


Malam tadi aku agak terkejut dengan pendedahan sistem televisyen ini yang cuba memburukkan kepimpinan PAS di Kedah. Jelas sekali niat buruk mereka terhadap kepimpinan ini denan mencari pelbagai peluang bagi membuatkan rakyat membenci kerajaan ini.

Sila lihat penjelasan yang dikeluarkan oleh wakil Kerajaan Negeri Kedah.

harakahdaily

TV3 berbohong, hina Istana Kedah
.
Fri Jul 11, 08 3:11:48 pm MYT


ALOR STAR, 11 Julai (Hrkh) - Agensi berita Bernama melaporkan bahawa pesawat sewa khas yang dinaiki Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak semalam adalah bagi menyertai rombongan Diraja Kedah ke Brunei untuk menyembah titah mengundang Sultan Brunei ke majlis ambutan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah pada Selasa depan.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid dipetik sebagai berkata, rombongan Diraja itu diketuai Tunku Bendahara Kedah yang disertai isterinya selain Ketua Istiadat Istana Datuk Saad Endut dan isteri selain Azizan dan isteri.

Helmi menjelaskan, berita Buletin Utama TV3 yang merakam rombongan itu menaiki pesawat dan menyebut seolah-olah ia adalah rombongan Menteri Besar adalah tidak tepat.

"Kita kesal dengan laporan berita yang mengelirukan itu dan kita mohon supaya stesen televisyen itu tidak lagi membuat laporan berdasarkan andaian semata-mata tanpa meminta penjelasan rasmi terlebih dahulu kerana ia melibatkan kepentingan istana," kata Hilmi.

Semalam, laporan berita stesen swasta itu menyebut Azizan bersama rombongannya telah menaiki pesawat khas yang disewa bagi tujuan perjalanan rasmi.-

Tok Guru: Gantikan Umno/BN

harakahdaily

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat Thu Jul 10, 08 4:35:35 pm MYT

Permintaan Umno supaya "Yang di-Pertuan Agong campurtangan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera" (Utusan Malaysia, 8 Julai 2008) ibarat mengesahkan satu perkara sahaja iaitu Umno yang telah mengangkat kedua-dua belah tangan.

Dia sendiri telah secara muktamad mengesahkan kegagalan parti itu sebagai pembela orang Melayu. Sudah selama 50 tahun dia membela(?).

Nasib orang Melayu menjunam dalam hampir semua pentas; agama, bangsa, tanah dan air.

Bertolak dari kegagalan agama yang boleh disukat melalui pemisahan pemerintahan dengan Islam, menukar Islam sejati dengan Islam Hadhari, gejala ratusan ribu umat Islam yang murtad, sejuta penagih dadah, bangsa Melayu yang kekacauan identiti dan jati diri dari segi bahasa, adat, budaya dan budi; tanah rezab Melayu yang semakin susut serta terjual dan tergadainya tanah, air dan pasir dalam bentuk pukal akibat rundingan dan perjanjian yang tidak cermat dengan negara jiran.

Jika orang Umno asyik minta Yang Di-Pertuan Agong campur tangan untuk memperbetulkan setiap kali kesalahan yang dibuat mereka, sedarkah Umno bahawa Yang di-Pertuan Agong inipun adalah Raja bagi seluruh warganegara.

Apa kata jika mereka pun mengangkat memorandum balas membantah dasar-dasar diskriminasi Umno terhadap segala ketidakadilan Umno.

Ini semua bertolak dari perletakan paksi perjuangan yang salah. Jika Umno dari awal tidak meletakkan paksi bangsa dalam perjuangannya, bahkan meletakkan Islam sebagai asas, saya percaya keadaan tidak jadi setenat ini.

Apabila Umno membesar-besarkan bangsa, mengibar keris telanjang, mengacah dan mengucup keris berterusan, orang bukan Melayupun boleh gerun.

Apabila naluri manusia terasa terancam, mereka pada logiknya juga akan menggunakan sentimen bangsa sebagai perisai pertahanan yang sama. Mereka akan mengumpul dan menggunakan persamaan dan perkongsian sentimen sebagai benteng pertahanan.

Ini segala-galanya berpunca dari Umno. Sebab itu, polemik mengenai perpaduan nasional tidak pernah selesai.

Jika Islam yakin bahawa kaedah pengagungan bangsa adalah formula yang tepat, sudah lama Nabi SAW menggunakan keunggulan suku bangsa Quraisy sebagai tunjang perpaduan kaum. Semua orang diwajibkan menerima Quraisy segagai bangsa "superior".

Soalnya, kenapa Nabi Junjungan kita tidak memilih berbuat begitu?

Bahkan sebaliknya, Baginda menempelak asobiyah bangsa dengan sepotong sabda bermaksud, "tiada kelebihan bangsa Arab atas bangsa 'Ajam kecuali dengan taqwa."

Kini sesudah 50 tahun, tanpa diatur dan ditunjuk-tunjuk oleh pemimpin Umno sekalipun, orang Melayu sudah lama tahu punca silapnya orang Melayu.

Mereka sangat tahu bahawa kegagalan ini disebabkan pengkhianatan pemimpin Umno dahulu dan sekarang yang tergamak memperkuda dan memperhambakan Melayu sesama Melayu.

Berselindung di sebalik istilah bumiputera, mereka (Umno) ratah daging dan darah sesama Melayu. Jika adapun usaha, mereka cuma berminat mengada-adakan projek yang boleh memperkayakan segelintir pemimpin Umno dan kroni.

Lihat sahaja isu di sekitar penjualan pasir satu waktu dulu, penguasaan saham di ECM Libra, Scomi, pembelian bas-bas RapidKL, isu kapal selam, siapa berada dibelakang Bernas dan terkini pula berbangkit soal tuduhan penglibatan pemimpin Umno dalam kontrak pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang atau disebut LCCT.

Saya cuma sedut beberapa contoh untuk sekadar menggambarkan perihal curiganya rakyat terhadap kerja Umno yang kononnya membela orang Melayu.

Bila terdesak rapat ke dinding, mulalah panggil Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Satu masa nanti, jangan terkejut jika Kebawah Duli Raja-Raja Melayu kitapun boleh tiba ke tahap meragui keupayaan Pemimpin Negara yang ada sekarang. Di peringkat itu, saya tidak tahulah apa yang akan terjadi.

Sekarang, benih yang salah, yang ditanam 50 tahun lalu sudah berbuah. Ia beracun dan cukup pahit bila dimakan.

Ia telah menimbulkan loya dan sedang menyebabkan muntah-muntah di kalangan Melayu dan bukan Melayu. Hakikat jatuhnya hampir separuh kerajaan-kerajaan negeri dari tangan Umno/BN dalam pilihan raya 8 Mac lalu adalah testimoni.

Ini berbeza dengan PAS. Kita tidak bermuka-muka. Kita mahukan Islam sejak dari tahun 1951 hingga kini dan Insya Allah, hingga sampai ke hari kiamat.

Jika Umno bermula dari Islam sejak awal penubuhannya, tentu keadaan tidak menjadi begini.
Dengan menolak Islam dan mengambil faham kebangsaan, Umno secara terbuka sanggup mendepani mana-mana gerakan siasah yang mahukan Islam.

Bermacam-macam tindakan zalim telah dibuat walaupun di luar lingkungan keizinan demokrasi.

Dalam banyak hal, dia (umno) memperalatkan kuasa majoriti yang diperuntukkan dalam amalan demokrasi untuk menyekat dan menyusahkan pergerakan dan kemajuan agamanya sendiri.

Saya masih ingat lagi bagaimana ramai ulama', ustaz dan aktivis Islam ditangkap dan disiksa.

Ada Adun PAS yang mati dikapak di tengah-tengah pekan Kota Bharu pada tahun 1960an.

Ada Adun dari Pasir Mas yang disumbat ke dalam penjara hingga menjadi hilang ingatan.

Ada jambatan dibakar di Rantau Panjang untuk menyekat pengundi-pengundi PAS dari keluar mengundi.

Ada penjawat awam yang menyokong gerakan Islam yang ditukar, ditahan kenaikan gaji dan disekat kenaikan pangkat.

Ada yang dicerai dan hidup menjanda kerana rumahtangga mereka porak peranda akibat suami yang disumbat ke penjara melalui ISA. Semuanya ini terlalu banyak berlaku di Kelantan.

Di Kedah pula, 14 orang ustaz dan orang awam dikepung dan ditembak hidup-hidup pada tahun 1986. Memali tiba-tiba menjadi kolam darah yang mengambus jasad syuhada, pejuang dan para wali.

Tanpa segan silu, Umno jugalah yang menafikan banyak peruntukan pusat dari mengalir ke Kelantan dan Terengganu. Siapa berani mengatakan bahawa sekatan penerimaan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu diantara tahun 1999 - 2004, misalnya, tidak berunsur politik?

Kini, Umno memutuskan Kerajaan Terengganu diberikan semula royalti kerana diperintah oleh Umno/BN.

Tidak zalimkah lagi? Lihatlah betapa siksanya pejuang-pejuang, penyokong-penyokong dan pencinta Islam untuk hidup di bawah dasar-dasar kemelayuan Umno yang melampau.

Pendek kata, terlalu panjang senarai kezaliman yang dilakukan oleh Umno kerana mengambil kebangsaan dan meninggalkan Islam.

Kini setelah 50 tahun, segala kudis, nanah, panau dan kurap penyakit asobiyah telah keluar ke permukaan.

Ada kes pembunuh Altantuya yang disebut-sebut melibatkan pemimpin tertinggi Umno. Setelah DSAI tidak terbukti melakukan liwat walaupun dituduh melakukan liwat 10 tahun yang lalu, kini dituduhnya beliau sekali lagi melakukan liwat. Lagi!

Belum reda dengan kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga petrol, rakyat dihidangkan pula dengan berita terlepasnya Pulau Batu Putih daripada tangan Malaysia.

Entah. Saya tidak nampak cahaya lagi di hujung terowong masa depan untuk Malaysia baik dunia atau akhirat selagi berada di bawah Umno/BN. Majoriti rakyat pun saya kira sudah berkesimpulan begitu.

Ini boleh dikesan melalui pelbagai tulisan-tulisan kekecewaan baik di akhbar perdana, warta-warta mingguan, media-media nyamuk dan suara-suara berita dari akhbar-akhbar alternatif. Jika orang muda yang selalu buka laman web dan blog, fenomena ini semakin jelas.

Apa yang ada di hadapan rakyat sekarang cuma satu sahaja iaitu memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif.

TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
6 Rejab 1429/ 9 Julai 2008