Tuesday, July 29, 2008

Komen Blogger Mengenai Permohonan Maaf Mahfuz



Tuesday, July 29, 2008

MULANYA saya tidak bercadang untuk memberi reaksi kepada surat permohonan maaf (apologi) Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar. Tetapi selepas membacanya kali kedua teringin pula untuk memberi sedikit komen untuk pengamatan bersama. Mudahan-mudahan ia memberi maaf bersama!

Bagi saya surat permohonan maaf itu tidak perlu dan bukan sesutau yang wajar dilakukan. Ia tidak mendesak untuk Mahfuz berbuat demikian. Kerana itu kepada saya surat seperti itu dilakukan oleh orang yang tidak ada kerja saja.

Sekali imbas surat itu menggambarkan keikhlasan Mahfuz seorang pemimpin Islam yang memperjuangkan Islam menerusi Pas. Beliau tulus dan bermaksud baik. Di samping itu juga ia ingin menjelaskan rasa ketanggungjawab beliau sebagai seorang pemimpin hirerki Islam.
Baguslah sekurang-kurang timbul rasa itu dalam dhamir Mahfuz.

Cuma apa yang menjadi sedikit kemusykilan apakah perlu beliau membuat permohonan maaf terbuka seperti itu. Apakah teruk sangat kecederaan maruah yang dialaminya ekoran beliau diperangkap dalam suasana itu - membuat penafian. Apakah sampai beliau terganggu, tidak boleh berfikir dan dipertikaikan wibawanya oleh seluruh ahli Pas?

Iya kalau salah perlu memohon maaf, tidak kira sesiapa juga. Mereka yang tidak mengaku kesalahan adalah sangat buruk moralnya dan tidak layak menjadi pemimpin!

Namun sebagai pemimpin seseorang itu perlu bijak, berpandangan jauh dan meletakkan harakahnya dalam keadaan terbaik dan mengatasi keperluan dirinya. Seseorang perlu mengorbankan diri untuk mempertahankan jemaah dan jangan meminta jemaah berkorban untuk diri kita.

Cara Mahfuz itu seakan ingin menyalahkan (merendah) pihak lain atas kerja yang beliau lakukan. Ini kerana menurutnya membuat penafian itu – tiada kerjasama Pas dengan Umno kerana beliau diarah berbuat demikian dan tidak pula mendapat maklumat tepat.
Dalam masa sama beliau persoal kepada orang individu yang tidak jujur dalam memberi maklumat sehingga beliau boleh membuat penafian itu.

Penjelasan ini secara tidak langsung Mahfuz mendedahkan kerendahan mutu kerja dan keupayaan beliau berfikir sebagai Ketua Penerangan. Sepatutnya sebelum membuat kenyataan penting, beliau semak dan selidiki dahulu kesahihan atau kewajarannya. Perlu disebut dalam perjuangan (strategi) adakalanya perlu dibuat walaupun ia tidak sahih!

Apakah kerana sudah membuat kenyataan sudah menjadi habit, menyebabkan Mahfuz terperangkjap dalam keadaan ini?

Desakan beliau agar individu yang tidak memberi maklumat tepat berhubung perkara itu agar tampil memberi penjelasan juga dikira tidak patut. Di sini sudah tidak ada semangat berpasukan dan ada unsur-unsur ingin melepaskan leher. Selaku Ketua Penerangan yang telah terlanjur, beliau harus memikulnya sendiri tanpa mengheret orang lain sama. Janganlah menampakkan sangat ketidakcerdikan kita!

Beliau nampak bertanggungjawab, ikhlas tetapi dalam masa sampai ingin melepaskan tanggungjawab dan cuba bermian politik secara halus tetapi sebenarnya nampak kasar. Apakah ini bukan hipokrit?

Demikian juga seruannya kepada pemimpin Pas supaya jujur. Seruan itu nampak bagus, tetapi apakah dengan kedudukan kita dalam hirerki parti wajar membuat seruan begitu. Cara Mahfuz lakukan itu seolah ingin mendedahkan bahawa ada pemimpin Pas yang tidak jujur dalam konteks ini. Apakah tindakan ini bijaksana?

Akhirnya catatan ini saya perbuatkan kerana terpanggil dengan seruan Mahfuz yang berbunyi; “Saya bersedia untuk menerima apa sahaja teguran dan kritikan membina untuk kebaikan bersama dan saya juga rela dihukum oleh ahli-ahli di atas kesilapan yang tidak sengaja saya lakukan ini. “

Kepada Mahfuz untuk masa akan datang beliau perlu menilai sesuatu yang hendak diucapkan sebelum melakukannya. Banyak sedikit semakan dan fikir kesan terhadap apa yang dilakukan. Jangan kerana habit dan syok dengan membuat kenyataan sesutau yang tidak sahih dan memberi impak kepada parti pun terlakukan juga. Beliau sebagai pemimpin jangan mengikut telunjuk orang sebaliknya gunakan telunjung kita untuk mengarah orang!

Permohonan maaf Ketua Penerangan PAS berhubung isu muzakarah

harakahdaily

Mon Jul 28, 08 7:18:21 pm MYT

Kepada,

Semua ahli, penyokong dan pengundi PAS.

Pertamanya marilah kita bersyukur kepada Allah di atas segala nikmatnya. Saya menuliskan surat terbuka ini adalah dengan tujuan untuk memohon maaf kepada semua ahli dan penyokong PAS di atas kenyataan saya baru-baru ini yang menafikan wujudnya sebarang pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno. Saya memohon berbanyak kemaafan di atas ketelanjuran ini.

Sebenarnya kenyataan yang saya buat sebelum ini bukanlah atas sifat pribadi saya, tetapi dibuat atas kapasiti sebagai Ketua Penerangan PAS berdasarkan keputusan parti yang mengarahkan saya berbuat demikian. Saya tidak menyalahkan pimpinan PAS yang mengarahkan saya berbuat demikian, tetapi ia adalah kesalahan beberapa individu yang gagal memberikan maklumat sebenar kepada pimpinan PAS. Tindakan mereka merahsiakan perkara-perkara tertentu berkaitan pertemuan dengan Umno telah menyebabkan pimpinan PAS mengambil pendirian bahawa tiada pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno.

Saya berharap individu terbabit dapat tampil kehadapan membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan penyokong PAS tentang pertemuan berkenaan termasuk butir-butir perbincangan seperti yang didedahkan oleh Presiden Umno baru-baru ini. Mereka juga harus bertanggungjawab secara khusus dalam masalah ini kerana tindakan peribadi mereka.

Saya sendiri amat terkejut dengan pendedahan tersebut yang sama sekali bertentangan dengan kenyataan saya sebelum ini. Ia kemudian disahkan oleh Presiden PAS. Lebih memeranjatkan lagi apabila 'muzakarah' tentang kepentingan Islam dan ketuanan Melayu yang didedahkan oleh Presiden Umno telah bertukar menjadi rundingan untuk membawa PAS menyertai kerjasama politik dengan Umno/BN. Sebelum ini kami sendiri tidak dimaklumkan tentang apa yang didedahkan oleh Umno ini, bahkan kami diberitahu tiada sebarang pertemuan dan rundingan rasmi antara kedua-dua parti.

Apabila bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo turut mendedahkan adanya rundingan khas selama 4 hari berturut-turut selepas pilihan raya baru-baru ini, saya berpandangan ia adalah tindakan peribadi individu tertentu tanpa melibatkan sebarang keputusan parti. Kerana itu, saya tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan rundingan yang disebut oleh Dr Mohamad Khir itu. Saya berharap individu yang terbabit ini turut membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan mengambil tanggungjawab di atas apa yang berlaku. Atau saya meminta Dr Mohamad Khir Toyo yang mengaku turut terlibat dalam pertemuan di antara Perdana Menteri dan beberapa pimpinan PAS agar dapat memperincikan butir-butir pertemuan tersebut supaya kita dapat sama-sama mengetahuinya.

Oleh kerana tindakan beberapa individu atas nama PAS tanpa pengetahuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan tidak pula memaklumkan tindakan mereka secara terperinci kepada parti, maka PAS mengarahkan saya membuat kenyataan menafikan adanya pertemuan dan rundingan tersebut. Ia adalah salah faham akibat adanya maklumat yang disembunyikan daripada pengetahuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Saya sedar kesilapan yang telah saya lakukan apabila mengumumkan tiada sebarang pertemuan dan rundingan antara kedua-dua parti. Saya menerima banyak teguran dan kritikan di atas 'pembohongan' ini daripada ahli-ahli dan penyokong PAS baik yang Islam atau yang bukan Islam serta rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat. Kerana itu, dengan hati yang terbuka saya ingin memohon maaf di atas kesilapan yang saya tidak sengajakan itu. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seorang profesor Universiti Tempatan yang telah mengingatkan bahawa 'jika kita lupakan sejarah, sejarah akan mendera kita'. Saya amat sedar tentang hakikat sejarah berkaitan kerjasama PAS-Umno yang telahpun saya sebutkan dalam kolum saya di Harakah pada minggu lepas.

Saya mengakui bahawa sejarah tidak pernah berulang, sebaliknya yang berulang ialah kesilapan manusia. Saya menyeru pimpinan PAS supaya jujur kepada ahli-ahli dan penyokong parti serta berusaha memperkukuhkan pakatan politik sedia ada. Saya mengajak ahli-ahli PAS memerhatikan hakikat sejarah yang ada supaya kesilapan itu tidak berulang.

Akhirnya, sekali lagi saya memanjatkan jutaan kemaafan kepada semua ahli dan penyokong PAS di atas ketelanjuran yang berlaku. Saya bersedia untuk menerima apa sahaja teguran dan kritikan membina untuk kebaikan bersama dan saya juga rela dihukum oleh ahli-ahli di atas kesilapan yang tidak sengaja saya lakukan ini.

Maafkanlah saya.

Sekian, wassalam.
Yang benar,

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena.

Monday, July 28, 2008

Doktor: Tiada kesan Saiful diliwat

malaysiakini

Jul 28, 08 2:55pm

Tiada bukti Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah mengalami hubungan seks luar tabie seperti itu - demikian hasil pemeriksaan seorang doktor di sebuah hospital swasta, kira-kira empat jam sebelum membuat laporan polis sebulan lalu.

Menurut salinan laporan perubatan terhadap bekas pembantu Anwar itu, Mohd Saiful ke Hospital Pusrawi mengadu mengalami "tenesmus" - kesukaran dan kesakitan membuang air besar.

Dipercayai pemuda 23 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital di Jalan Tun Razak itu kira-kira jam 2 petang pada 28 Jun sebelum diminta ke sebuah hospital kerajaan dan kemudian membuat laporan polis.Ketika di Hospital Pusrawi, pemuda itu diperiksa oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid.

Dalam laporannya itu, doktor tersebut menyatakan pesakit itu mendakwa diserang dengan dijolok bahan "plastik" di bahagian duburnya.

Mohamed Osman, seperti tercatat dalam laporannya yang direkodkan pada jam 2.14 petang, mendapati dubur Mohd Saiful "tidak mengalami pendarahan aktif", "tiada kesan ulser atau nanah", dan "tiada kesan koyak atau calar".Beliau juga menyatakan pemuda itu kelihatan "jaga", "selesa", "tidak pucat" dan tidak menunjukkan sebarang tanda demam.