Thursday, February 12, 2009

Kemelut Politik: Respon Rakyat Perak


HarakahDaily.Net

Kajian: 97 peratus rakyat Perak mahu DUN dibubarkan
Nyza Ayob Thu Feb 12, 09 9:36:19 am MYT

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Hrkh) - Sebanyak 97 peratus rakyat Perak mahukan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan iaitu sebagai cara terbaik mengatasi kemelut politik di negeri itu serta memberi peluang mereka 'meraikan' demokrasi.

Demikian hasil kajian yang dilakukan oleh Penganalis Politik dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah terhadap penduduk di negeri itu yang bermula di Pasir Salak sehingga ke Kuala Gula.

Abu Hassan menjelaskan, peratusan tersebut yang menunjukkan desakan rakyat Perak yang merupakan natijah gerakan massa rakyat yang merasa tertekan, penghidupan terganggu serta seluruh sistem ekonomi, politik dan sosial yang sudah punah.

"Bagi mereka, rakyat harus bangkit semula memperbetulkan keadaan bagi memberi peluang kepada rakyat memilih tokoh-tokoh politik yang mereka inginkan.

Rakyat mengatakan bagi peluang kepada kedua-dua pihak. Jika rakyat memilih salah satu pihak, maka pihak itulah pilihan rakyat Perak. Kata mereka, sebagaimana sebuah acara kematian, begitulah acara demokrasi.

"Dun Perak sekarang ini dianggap sebagai telah 'mati'. Kedua-dua pihak mempunyai ruang dan juga tanggungjawab untuk mempertahankan apa keadaan sekalipun.

Sebagaimana dilihat pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan, maka sekaligus SPR menggunakan ruang pilihan raya ini untuk mengadakan pilihan raya di seluruh negeri Perak dengan andaian kedudukan Dewan Undangan Negeri adalah tidak sah,"katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

Sementara itu beliau berkeyakinan kehadiran media baru yang dikenali sebagai 'kewartawanan sukarelawan' akan terus menjadi medium yang paling berpengaruh dan paling berpengaruh sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dun Selambau.

Jelasnya media tradisi seperti akhbar merupakan media yang sangat berpihak yang mana hanya bersifat satu sisi dan satu arah.

"Internet adalah media yang tidak berpihak berbanding akhbar. Jika Harakah ia akan melihat daripada sisi PAS, jika Suara KeADILan daripada sisi KeADILan, Utusan Malaysia dan Berita Harian akan melihat daripada sisi Barisan Nasional. Maka bagi rakyat tidak ada medium lain yang mempunyai pelbagai sisi dan tidak berpihak ialah media baru iaitu internet.

" Blog merupakan kewartawanan individu di mana mereka meluah perasaan individu sebagai ahli masyarakat bukan seperti sebuah akhbar yang mempunyai ramai pengarang. Jika ada 5,000 blog rakyat di Perak, mereka dapat membaca 5,000 blog daripada sisi orang Perak. Ini berbeza dengan media sekular yang satu arah," tegasnya.

Sehubungan itu beliau tidak meragui bahawa media baru ini akan menguasai aliran informasi sehingga ke skala 86 peratus yang akan menguasai dan membentuk pilihan raya di kedua-dua Dun dan Parlimen itu.

Hasil Pimpinan PR di Perak

malaysiakini

K'jaan Pakatan Perak berjaya selesai isu-isu tertunggak...

Feb 11, 09 1:40pm

Sepanjang 10 bulan mentadbir Perak, kerajaan negeri telah dapat menyelesaikan dalam masa yang singkat, isu-isu yang sudah lama tertunggak, kata Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga.

Katanya, antara isu-isu yang dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak ialah:

  • Sebagai menteri besar, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin membatalkan kesemua aktiviti membalak dan perladangan di kawasan Orang Asli di sekitar Gopeng yang menjejaskan lebih 2,000 penduduk Orang Asli.

  • YB Sivanesan mengumumkan pemulangan kira-kira 400 ekar tanah nenek moyang Orang Asli kepada masyarakat tersebut, yang telah diperuntukan untuk aktiviti pembalakan oleh kerajaan sebelumnya di Mukim Teja dekat Gopeng.

  • Kerajaan negeri telah mengumumkan pemulangan kira-kira 500 ekar tanah nenek moyang Orang Asli kepada masyarakat Orang Asli Kampung Chang Sungai Gepai di Bidor, yang telah diperuntukkan sebagai tapak Taman Botani, oleh kerajaan sebelumnya.

  • Sebuah pasukan khas mengenai hak tanah Orang Asli ditubuhkan untuk mengiktiraf secara rasmi semua tanah adat Orang Asli di Perak. Pasukan itu mempunyai dua peringkat.

  • Peringkat kedua dikendalikan secara eksklusif oleh masyarakat Orang Asli sendiri dan dewan mesyuarat di bangunan SUK disediakan untuk kegunaan Orang Asli.

  • Kerajaan negeri telah melantik seorang pegawai khas Orang Asli bagi negeri Perak yang ditugas untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi Orang Asli di negeri tersebut.

  • Mengadakan siri perbincangan dengan rakyat dan NGO mengenai aktiviti pembangunan di Ipoh. Sebagai contohnya, pandangan awam diminta berhubung cadangan pembangunan Pasar Yau Tet Shin.

  • Penduduk Melayu dan Cina di kampung baru dan kampung tersusun diberi hakmilik kekal secara berperingkat.

Ambiga berkata, Majlis Peguam gembira melihat hasil-hasil yang positif yang dicapai dalam tempoh masa yang singkat untuk menangani isu-isu terbabit.

"Kita berharap kepentingan yang sama akan diberikan terhadap perkara-perkara berkenaan dan terus dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Malah, kita menggesa kerajaan negeri supaya bersikap pro-aktif berhubung isu-isu yang membabitkan Orang Asli, masyarakat yang terpinggir dan kurang bernasib baik," katanya.

Wednesday, February 11, 2009

Komen Tok Guru mengenai perletakan jawatan V Arumugam

HarakahDaily.Net

Tahniah V Arumugam kerana pertahan prinsip - Nik Aziz

Salmah Mat Husain Tue Feb 10, 09 7:23:24 pm MYT

KOTA BHARU, 10 Feb (Hrkh) - PAS merakamkan ucapan tahniah kepada bekas Adun Bukit Selambau, V Arumugam kerana sanggup menolak tawaran Barisan Nasional (BN) dengan meletak jawatan sebagai Adun.

"Bukan senang nak melepas tekanan daripada Umno dan BN yang mengugut dengan macam-macam perkara," ujar Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui pemberita di pejabat Menteri Besar di sini, hari ini.

Kata beliau pada mulanya beliau kesal dengan tindakan bekas Adun terbabit yang mengambil tindakan melepaskan jawatan hanya kerana menghadapi tekanan politik.

Bagaimanapun menurutnya tekanan diterima Arumugan begitu hebat sehingga tidak tertanggung lagi.

"Oleh itu tindakan beliau mengosongkan kerusi Dun yang dipegang sebelum ini wajar sekali.

"Mungkin ugutan yang diterima itu kuat sangat sampai kepada keluarganya. Kerana itu perletakan jawatan Arumugam sebagai langkah terbaik bagi mendapatkan semula mandat daripada rakyat," katanya.

Beliau juga berkata, berlainan dengan situasi di Kelantan kerana rakyat sudah masak dengan tekanan Umno dan BN sejak sekian lama sehingga pernah berlaku perisitwa Mageran pada 1977.
Kata beliau kerana rakyat masak dengan ugutan BN maka pada pilihan raya umum lalu parti itu sekarang hanya tinggal enam kerusi Dun berbanding sebelum ini 22 kerusi.

Petang semalam Menteri Besar, Dato' Seri Azizan Abdul Razak memaklumkan Arumugam meletak jawatan sebagai Adun Bukit Selambau berkuatkuasa serta merta melalui suratnya bertarikh 8 Februari 2009.

Bekas Adun terbabit melalui surat akuan bersumpah juga menjelaskan menerima ugutan sejak memenangi Dun Bukit Selambau pada pilihan raya umum lalu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak bersetuju sekiranya Dato' Seri Nizar Jamaluddin dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang memandangkan dua tugas serentak begitu berat hendak dipikul.

Menurut beliau sekiranya wakil rakyat biasa memikul dua amanah serentak sama ada di peringkat Dun dan Parlimen, ia tiada masalah.

"Tetapi sekiranya seorang Menteri Besar turut memikul tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat di peringkat Parlimen memang berat," katanya.

Anggota Parlimen PAS Bukit Gantang, Roslan Shaharum meninggal dunia akibat serangan jantung tengahari semalam.