Tuesday, March 24, 2009

Penggantungan Harakah: Keluhan MP Kuala Krai

HarakahDaily.Net

Penggantungan Harakah, tindakan 'desperado' Umno/BN ! - Dr Hatta

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Mar 24, 09 9:50:56 am MYT

KUALA LUMPUR. 24 Mac (Hrkh) - Penggantungan tiga bulan yang dikenakan ke atas Harakah oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah semata-mata tindakan 'desperado' kerajaan Umno-BN.

Demikian tegas Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas isu penggantungan akhbar milik PAS itu berkuat-kuasa serta merta.

"Ini satu tindakan terdesak, 'desperado' yang memperlihatkan sekatan ke atas maklumat, menyekat kebebasan suara rakyat yang diterjemahkan melalui akhbar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Penggantungan ini katanya memperlihatkan sebenarnya kerajaan Umno-BN tidak mampu untuk menjawab banyak persoalan yang ditimbulkan akhbar ini yang menjadi suara rakyat.

Namun tindakan ini sebenarnya hanya akan membangkitkan kemarahan rakyat yang sudah tidak percaya kepada laporan media arus perdana yang terlalu banyak manipulasi, ujarnya.

Mengulas mengenai syarat akhbar parti seperti Harakah hanya perlu melaporkan berita mengenai perkembangan parti sahaja, beliau menempelak peraturan tersebut.

"Ini satu peraturan yang mundur, terkebelakang dan tidak bertamadun.

Mengapa akhbar parti tidak boleh melaporkan perihal politik?" soalnya.
Dr Hatta tidak menolak kemungkinan penggantungan ini sebenarnya adalah usaha menutup sebaran maklumat lebih-lebih lagi dalam negara menghadapi krisis kepimpinan yang dahsyat.

Selain itu katanya usaha ini adalah untuk menutup ruang kempen bagi tiga pilihan raya kecil (PRK), Parlimen Bukit Gantang; Dun Bukit Selambau dan Batang Ai yang akan berlangsung 7 April ini.

Beliau seterusnya melahirkan rasa kecewa dengan sikap KDN ini yang sekaligus menutup ruang demokrasi di negara ini.

KDN semalam menggantung permit akhbar berpengaruh Harakah dan Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan mengejut ini menghalang keberkesanan kempen kedua-dua parti bagi menghadapi tiga pilihan raya kecil kawasan parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak antara 29 Mac hingga 7 April ini.

Surat KDN kepada kedua-dua organisasi itu dikirim melalui faksimili selang beberapa minit menjelang jam 5.00 petang semalam.

Surat penggantungan Harakah ditujukan kepada Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar, manakala surat untuk Suara Keadilan dialamatkan kepada Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Difahamkan kandungan kedua-dua surat tersebut hampir sama.

"Dukacita dimaklumkan bahawa kementerian ini telah membuat keputusan untuk menggantung permit penerbitan akhbar Suara Keadilan selama tempoh tiga (3) bulan berkuatkuasa serta-merta," surat KDN itu dipetik.

Bagaimanapun surat yang dikeluarkan oleh setiausaha Bahagian Unit Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN Che Din Yusoh tidak memberi sebarang alasan tindakan tersebut.

KDN merampas kedua-dua akhbar tersebut di seluruh negara sewaktu memuncak krisis politik di Perak pertengahan bulan lepas.

Tindakan terhadap Suara Keadilan bermula sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu, pertengahan Januari lalu.

Sejak Harakah dibenarkan beroperasi pada 1987, inilah kali pertama akhbar itu dikenakan tindakan penggantungan oleh KDN.

Selepas pilihan raya umum Mac tahun lepas, kementerian itu mengizinkan PAS menerbitkan kembali akhbar itu sebanyak dua kali seminggu selepas dilarang sejak 2000.

Penggantungan Harakah: Tok Guru kesal


HarakahDaily.Net

Takut kebenaran terbongkar punca akhbar oposisi digantung - Nik Aziz

Mohd Nor Yahya Tue Mar 24, 09 3:02:12 pm MYT

KOTA BHARU, 24 Mac (Hrkh) - Tindakan terbaru kerajaan Barisan Nasional (BN) menggantung permit akhbar oposisi dianggap sebagai berniat jahat dan takut kepada kebenaran terbongkar.

Malah bagi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tindakan Kementerian Dalam Negeri (DKN) itu tidak sekali-kali menghalang rakyat bagi mendapatkan maklumat yang kini berada di hujung jari.

"Sumber maklumat sekarang sudah banyak seperti internet, blog, telefon, SMS dan sebagainya yang ternyata lebih berkesan dan cepat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Mr Ashok K. Kantha di pejabatnya hari ini.

Petang semalam KDN menggantung permit kedua-dua akhbar oposisi yang berpengaruh di negara ini iaitu Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sebagai tindak balas terhadap tindakan KDN, rakyat di negara ini disaran tidak membeli akhbar harian yang didokongi Umno dalam tempoh tiga bulan.

Menurutnya tindakan KDN yang diterajui pemimpin Umno jelas mahu menyekat pengaruh Pakatan Rakyat yang semakin meluas sekarang.

"Kalau nak kata akhbar oposisi buat fitnah dan menghasut, kita tengok sekarang ramai juga ahli parlimen yang pernah ditahan ISA memenangi pilihan raya kerana sokongan rakyat.

"Macam mana rakyat boleh mengundi dan memberi kepercayaan kepada mangsa tahanan ISA yang dianggap kerajaan boleh mengancam keselamatan negara.

"Jadi peranan akhbar oposisilah menjelaskan tomahan itu tidak benar sehingga pemimpin terbabit menang dalam pilihan raya," katanya.

Kata beliau tindakan menahan seseorang pemimpin politik ke dalam ISA bukan kerana mereka mengancam keselamatan negara, sebaliknya mengancam kedudukan Umno sehingga makin hilang pengaruh.

"Saya yakin tindakan mereka bermotif politik ketika menjelang pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

"Dendam yang membuak dalam dada pemimpin Umno menyebabkan mereka bertindak di luar batasan. Tindak tanduk mereka seperti Israel yang dendam terhadap umat Islam," katanya.

Oleh itu beliau berkata, tindakan pemimpin Umno menyekat akhbar milik Pakatan Rakyat menyebabkan kebencian rakyat terhadap Umno dan BN semakin menjalar.

PAS kecam penggantungan permit Harakah


HarakahDaily.Net


Gantung permit: tindakan politik untuk sekat kebebasan demokrasi

Irwan Muhammad Zain Tue Mar 24, 09 5:14:59 pm MYT

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Hrkh) - PAS mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengantung permit Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan dan menyifatkan tindakan ini sebagai satu perbuatan ganas untuk menyekat kebebasan demokrasi.

Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar menegaskan kebebasan demokrasi khususnya melibatkan Pakatan Rakyat disekat oleh Barisan Nasional (BN) dalam usaha mereka untuk mendapat sokongan rakyat.

BN tegas beliau, menggunakan berbagai taktik kotor dalam usaha menyekat Pakatan Rakyat daripada menyampaikan maklumat kepada penyokong-penyokongnya.

"Tindakan KDN ini jelas bermotifkan politik kerana tidak ada bukti menunjukkan Harakah melakukan fitnah.

"Jika benar ada fitnah atau salah lapor sudah tentu tindakan undang-undang sudah diambil namun hingga kini pihak KDN gagal membuktikannya," tegas beliau.

Kamaruddin menegaskan kerajaan BN khususnya KDN menyalahgunakan kuasa dan menyekat perkembangan maklumat kepada rakyat.

PAS tegas beliau akan memastikan segala maklumat akan disampaikan kepada ahlinya dalam usaha menerangkan apa yang berlaku.

Beliau juga menjelaskan PAS akan menggunakan segala saluran dan kaedah yang berkesan bagi memastikan pengantungan permit ini ditarik balik.