Tuesday, July 8, 2008

Perlawanan Persahabatan Malaysia Lawan Chelsea FC


Nampaknya impian peminat-peminat Chelsea FC di negara ini akhirnya akan dapat menyaksikan pasukan mereka di sini.

Nasib baiklah Avram Grant sudah dipecat serta Tal Ben Haim mungkin tidak diturunkan memandangkan kedua-dua personaliti ini adalah warga negara Israel yang tiada hubungan diplomatik dengan negara kita.

Ramai yang tidak sabar untuk menyaksikan gandingan baru Deco dan Frank Lampard di barisan tengah Chelsea nanti (termasuklah aku).

Chelsea FC dijadualkan beraksi menentang Malaysia pada 29hb Julai 2008 bertempat di Stadium Shah Alam. Tiket pula akan mula dijual pada 20hb Julai 2008.

Sebarang pertanyaan mengenai tiket atau apa-apa yang berkaitan sila layari http://www.ticketpro.com.my/.


Piala Malaysia: Kelantan Menang Lagi


Setelah lebih sedekad tidak mengambil tahu perkembangan bolasepak negeri tumpah darahku ini, aku mula tertarik dengan perkembangan terkini terutamanya semenjak bermulanya musim Piala Malaysia.

Skuad Kelantan telah merekodkan kemenangan keempat malam kelmarin dari enam perlawanan dalam Kumpulan C. Kemenangan 3-2 ke atas Sarawak di Kota Bharu telah meletakkan Kelantan di tangga teratas kumpulan. Pasukan ini mungkin hanya memerlukan satu lagi kemenangan dari baki empat perlawanan dan sudah cukup untuk layak ke peringkat suku akhir.

Md. Ramzul Zahini, Md. Amri Fazal dan pemain impot, Jan Necas merupakan senarai penjaring yang melengkapkan kemenangan Kelantan pada malam itu. Sebelum itu, Kelantan juga telah membenam Selangor 5-2 pada 3hb Julai 2008 yang lalu.

Suasana terbaru ini telah mula mengubah persepsi peminat bolasepak Negeri Kelantan untuk memberikan sokongan padu kepada skuad yang amat disayangi ini. Hal ini juga turut mengimbau kembali kenangan lalu iaitu ketika kali terakhir layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA kira-kira 15 tahun yang lalu.

Aku masih ingat lagi tatkala perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-4, Kota Bharu. Aku yang masih dalam Tingkatan 2 ketika itu kaku setelah menyaksikan sepakan sudut Nidzam Adha yang menghasilkan gol untuk Kedah dan seterusnya membawa mereka ke perlawanan akhir.

Sekarang ini, aku mula mencari jersi terbaru skuad Kelantan untuk persediaan perlawanan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hang Jebat malam esok menentang Melaka.
.

Tuan Guru Hj Abdullah Tahir Bunut Payong (1897-1961)

http://epondok.wordpress.com
.
Salah seorang ulama’ besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal di seluruh semenanjung itu. Seangkatan dengan Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Saad Kangkong, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek, Hj. Salleh Pedada dll.

Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya, Hj. Ahmad bin Mohd Zain yang berasal dari Kg.Chepa,Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai imam tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920)

Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah untuk mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mokhtar Bogor, Sheikh Said al-Yamani, Sheikh Mohd Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.

Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang di beri nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.

Di pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Hj. Abdul Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang tegas.

Kerana kegigihannya yang sedemikian, maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Hussain Rahimi, Hj. Nik Man Sg. Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumbuh, hj. ISMAIL Padang Lepai, Hj. Abdullah Kok Lanas, Hj. Omar Kubang Bemban, Hj. Abdul Rahman Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor Teliar, Hj. Sulaiman Siram, Hj. Daud Bukit Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulau Chondong,Hj. Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj. Ahmad Kodiang, Hj. Yahya joned Gurun, Hj. Ibrahim Bongek, Hj. Abdul Wahid Sungai Udang, Hj. Hussain Umbai, Hj. Ahmad Relai, Hj. Hasanuddin Berhala Gantang, Hj. Ismail Phuket, Hj. Ghazali Mundok.

Kerana ketokohannya juga beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan beberapa penggal (seawal 1932).Kematian fuqaha’ ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya.