Friday, July 18, 2008

Sambutan Jubli Emas DYMM Sultan Kedah



Pada Tanggal 15 Julai 2008 bersamaan dengan 12 Rejab 1429 Hijrah, Negeri Kedah Darul Aman serta seluruh rakyatnya berbangga menyambut sejarah dalam pemerintahan berRaja dimana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah menyambut ulangtahun Jubli Emas pemerintahan Baginda.


Untuk penerangan lanjut mengenai sambutan ini, sila layari http://www2.kedah.gov.my/jubliemas/index.php.


mahathirisma - Mungkin belum terlambat untuk patik mengucapkan selamat menyambut ulangtahun ke-50 pemerintahan Tuanku Sultan Kedah..

Yang paling best pada hari itu ialah dengan terpampangnya wajah Menteri Besar Kedah (Ustaz Azizan) di hampir semua akhbar utama negara bagi mengucapkan selamat untuk Tuanku Sultan..

Tulisan A Kadir Jasin Mengenai Peralihan Kuasa


The Scribe A Kadir Jasin


Peralihan Kuasa: 2 Tahun Adalah Lama

BERITA besar media massa arus perdana sejak semalam adalah pengesahan jadual penyerahan kuasa oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Mohd Najib Abdul Razak.

Menurut laporan muka depan Utusan Malaysia, Abdullah “akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada timbalannya” pada pertengahan 2010.

Saya sengaja memetik laporan Utusan kerana kedudukannya sebagai akhbar milik Umno.

Dengan kedudukan itu saya menganggap laporan Utusan sebagai paling autoritatif dan boleh dipertanggungjawabkan.

Tetapi apabila saya membaca dengan teliti dan berulang kali saya menjadi agak keliru dan kurang yakin. Bukan tujuan saya mencari salah atau membahaskan semantik.

Soalnya ada jurang yang ketara antara perisytiharan “akan menyerahkan jawatan” dalam perenggan pembukaan (intro) laporan Utusan dengan perenggan keenam yang mengandungi petikan langsung daripada Abdullah yang berbunyi:“Saya bercadang menyerahkan jawatan kepada Najib untuk mengambil alih jawatan Presiden parti dalam Jun atau pertengahan 2010.

”Saya tidak menuduh sesiapa memutarkan kata-kata. Tetapi pada hemat saya ada perbezaan yang halus (subtle) di antara “akan menyerahkan jawatan” dengan “bercadang menyerahkan jawatan.”Mungkin dalam gaya bahasa Perdana Menteri dan dalam benaknya “akan menyerahkan jawatan” dengan “bercadang menyerahkan jawatan” adalah sama.

Tidaklah perlu saya mengingatkan sesiapa iaitu dalam politik, perbezaan antara yang tersurat dengan yang tersirat kadang-kadang seperti langit dengan bumi dan masa dua tahun adalah sangat lama dan boleh menjadi selama-lamanya.

Pernah pun berlaku iaitu apabila sampai masanya apa yang dicadangkan tidak dilaksanakan kerana sebab-sebab tertentu. Dalam politik alasan boleh dicari atau dicipta.

Tun Dr Mahathir Mohamad pernah dilaporkan sebagai berkata dia asalnya bercadang bersara pada tahun 1998 dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada waktu itu, Anwar Ibrahim.

Tetapi apabila Krisis Kewangan Serantau berlaku pada tahun 1997 dia menangguhkan cadangannya dan kekal memerintah sehingga tahun 2003. Manakala Anwar pula dipecat daripada Umno dan Kerajaan kerana terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan salah laku.Banyak hal boleh berlaku dalam masa dua tahun. Saya tidak mahu membuat ramalan.

Sebaliknya marilah sama-sama kita mencari jawapan kepada soalan-soalan berikut:

1. Mengapa pada Jun atau pertengahan 2010 dan tidak sekarang atau selepas mesyuarat agung tahunan Umno Disember ini?

2. Mengapakah Abdullah mempertahankan jawatan presiden dan menamakan Mohd Najib sebagai rakan kongsi?

3. Apakah Tengku Razaleigh Hamzah akan meneruskan cadangannya mencabar Abdullah dan Muhyiddin Yassin bertanding jawatan timbalan presiden?

4. Adakah kepemimpinan Umno di peringkat cawangan, bahagian dan perhubungan negeri bersetuju dengan jadual peralihan kuasa ini?

5. Apakah mungkin mereka mengenakan tekanan ke atas Mohd Najib agar mencabar Abdullah dengan mencalonkan beliau untuk jawatan presiden?

6. Apakah implikasi pelukan mesra Abdullah terhadap Mohd Najib ke atas pakatan bayangan Mohd Najib-Muhyiddin?

7. Apakah sejarah politik bawah tanah pertembungan Anwar-Tun Abdul Ghafar Baba tahun 1993 akan berulang? (MT tidak mahu Ghafar dicabar. Anwar juga berkata dia tidak berhasrat mencabar Ghafar. Tetapi bahagian terus mencalonkan Anwar. Ghafar terpaksa mengaku kalah dan meletakkan jawatan.)

8. Adakah ahli Umno sudah bersedia untuk melihat melepasi Mohd Najib atau Tengku Razaleigh dalam usaha mereka mencari penyelamat parti dan pemimpin negara? dan

9. Dalam kedudukannya sebagai “lame duck Prime Minister” adakah mampu Abdullah menangani masalah negara, khasnya dalam bidang ekonomi, yang semakin mengancam sekarang?Kesimpulannya, jadual penyerahan kuasa yang tertangguh itu boleh menjadi jambatan ke arah kesejahteraan dan boleh juga menjadi senjata makan tuan kepada Abdullah, Mohd Najib dan Umno.

Dalam politik, hanya orang dangkal sahaja akan memipiskan lada apabila melihat burung terbang atau membilang anak ayam sebelum menetas.

Mohd Najib mungkin bukan budak kampung. Masa kecilnya dia mungkin tidak memelihara ayam dan itik. Bagi orang kampung yang memelihara ayam dan itik, dia pasti tahu bahawa tidak ada yang lebih busuk dan meloyakan daripada bau telur buruk.

Saya teringat kepada temu ramah empat mata yang saya lakukan dengan Mohd Najib untuk akhbar Business Times pada tahun 1977 ketika dia masih bujang dan baru setahun jagung sebagai Ahli Parlimen. Masa berlalu begitu pantas!

Bagaimana DNA dapat dimanipulasi?

tranungkite

Oleh: Ilhamku

Ketepatan DNA dalam menentukan identiti seorang individu jangan disangkal. Hanya dengan DNA dapat menjadi bukti dalam apa jua kes siasatan. Dalam apa-apa kes jenayah, walaupun tidak melibatkan kes kematian, pembunuhan, rogol dan sebagainya, DNA dapat membantu dan membuktikan identiti individu yang terlibat dan membuktikan sama ada menjadi pesalah mahupun bukan pesalah dan anda boleh dipersalahkan!

Sampel DNA boleh didapati dari setiap inci badan manusia. Bukan hanya dari darah, malah dari rambut, bulu roma, air liur, mani, sel kulit, kuku dan sebagainya. Di negara-negara barat, polis menyimpan data-data DNA warganya lebih-lebih lagi bagi penjenayah-penjenayah yang telah dikenalpasti sebagai rekod tindakan polis.

Oleh kerana itu, di Malaysia dan dimana-mana negara, setiap warganya mempunyai hak untuk tidak membenarkan mana-mana pihak mengambil sampel DNA seseorang individu kecuali individu itu diperincikan tujuan DNA itu diambil dan relevannya dengan siasatan agar DNA ini tidak dimanipulasikan sewenang-wenangnya. Ianya bertujuan menghalang perbuatan mensabotaj dan berlakunya pengkhianatan.

Sebagai contoh mudah, anda adalah suspek (telah direman dan sebagainya) dalam satu tuduhan rompakan bank. Dalam kejadian tembak-menembak, anda telah ditembak di kaki. Darah menitis di lantai dan anda berjaya melarikan diri semasa hari kejadian.
Polis Jenayah Siasatan Tempat Kejadian telah mengambil sampel darah dan mengenalpasti milik DNA. Setelah siasatan, terbukti DNA itu adalah milik anda dan membuktikan anda adalah orang yang terlibat dalam rompakan itu.

Itupun jika siasatan polis telus dan memperincikan perkembangan siasatan dari semasa ke semasa. Sentiasa membuat sidang akhbar dan memaklumkan perkembangan dan keperluan sebenar DNA anda di ambil.

Jika ketelusan ini tidak berlaku, perkara manipulasi dan sabotaj terhadap bukti DNA boleh berlaku. Bagaimana manipulasi ini berlaku?

Anda tidak pernah terlibat dalam apa-apa rompakan. Anda seorang yang baik. Disenangi oleh orang kebanyakkan. Tetapi ada beberapa kerat manusia yang tidak suka anda, dengki dan berniat jahat terhadap anda. Mungkin anda terlalu kacak (contoh) maka ada yang iri hati. Orang yang berniat jahat ini mempunyai kuasa dan mempunyai pertalian baik dengan polis.

Maka, polis yang tidak pernah memaklumkan siasatan dengan terperinci ini, tiba-tiba mengatakan DNA anda diperlukan untuk siasatan. Anda yang terlalu baik dan percaya kerana tidak mahu dikatakan takut kerana salah, berani kerana benar, merelakan DNA anda diambil. Sekaligus memerangkap diri sendiri.

Anda dikatakan telah berada di tempat rompakan kerana DNA dari darah yang dijumpai di tempat kejadian adalah bertepatan dengan DNA anda. DNA dari darah asal telah dimusnahkan bagi menghilangkan bukti. Maka merengkoklah anda terhadap jenayah yang anda tidak lakukan.