Thursday, August 21, 2008

Muktamar Agung: Pasca


HarakahDaily.Net

Mengingati 2 mandat besar PAS

Abu Firdaus Thu Aug 21, 08 12:25:50 pm MYT

Muktamar PAS di Ipoh baru-baru ini sememangnya bersejarah. Lebih-lebih lagi ia diadakan sejurus sebelum penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh, yang juga bersejarah bagi negara ini.

Di bawah slogan 'PAS untuk semua', maka kehadirannya di Perak Darul Ridzuan menyerlahkan bahawa PAS adalah untuk semua rakyat Malaysia, bukan saja untuk orang Melayu dan Islam tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, merentasi kaum, agama dan fahaman politik.

Justeru, PAS bukan berasal semata-mata daripada Biro Agama Umno dan ditubuhkan pada awalnya oleh pendokong Dato Onn Jaafar dalam parti itu. PAS merupakan lanjutan Hizbul Muslimin yang ditubuhkan di Gunung Semanggul, Perak. Maknanya parti pertama Islam adalah di Perak. Parti pimpinan Abu Bakar Bakir itu turut dianggotai Asri Muda.

Hizbul Muslimin menyertai Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bersama Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Burhanuddin Al-Hilmy.

PUTERA pula bersama dengan Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya (AMCJA) dalam melancarkan Perlembagaan Rakyat, yang berbeza daripada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dokongan Umno pada 1947.

Perlembagaan Rakyat, PUTERA-AMCJA dan Hizbul Muslimin terbubar dengan tangkapan besar-besaran pihak British ke atas parti-parti kiri menjelang Darurat.

Maka vakum politik ketika itu diisi Umno. Tetapi syarat kemerdekaan ialah parti untuk semua kaum, dan bukannya untuk orang Melayu saja. Itulah juga saranan Dato Onn. Biro Agama Umno mendokong Dato Onn. Begitulah sifat terbuka biro itu. Tetapi kebanyakan pemimpin Umno menolak.

Dato' Onn keluar parti dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang kemudian digantikan Parti Negara. Biro Agama Umno juga keluar parti walaupun pemimpinnya menyertai parti Dato' Onn.

Maka Biro Agama Umno menjadi Persatuan Islam Setanah Melayu (PAS). Kekosongan kepimpinannya diisi Burhanuddin Al-Hilmy, seorang anak Perak. Penyertaannya ke dalam PAS diikuti pendokong Hizbul Muslimin yang menganggap PAS penggantinya.

Ahmad Boestamam, seorang anak Perak juga mengasaskan Parti Rakyat Malaya (PRM) yang ianggap sebagai lanjutan PKMM. Semasa penubuhannya pada 1950, Burhanudin yang telah menerima pelawaan PAS untuk menjadi ketuanya turut berucap. Mereka mengisytiharkan kesetiakawanan antara PAS dan PRM.

Dalam pilihan raya pra-merdeka, PAS, PRM dan Dato' Onn adalah sekutu. PRM bergabung dengan Parti Buruh Malaya (LPM) untuk mewujudkan Barisan Sosialis (SF). v Menjelang pilihan raya 1969. LPM dibubarkan dan ahli-ahlinya menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Kedua-duanya parti pelbagai kaum.

Syed Hussein Al-Attas adalah antara pengasas PGRM sementara DAP mempunyai beberapa tokoh Melayu di Perak.

Apabila BN ditubuhkan, PGRM dan PAS turut menyertainya. PGRM pecah di mana salah seorang pemimpin utamanya, Tan Chee Khoon keluar parti dan menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Ahmad Boestamam menyertai parti berlambangkan mata hari itu.

Sementara PAS di bawah pimpinan Asri juga pecah. Tokohnya di Perak, Hashim Gera yang terkenal sebagai pemantun di Dewan Rakyat keluar parti dan menubuhkan Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA) berlambangkan pokok kelapa sawit.

Ketika PAS berada dalam BN, antara perubahan yang berlaku ialah perubahan palang merah menjadi bulan sabit merah, azan di radio dan penubuhan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Salah seorang anggota majlis yayasan itu ialah Nik Aziz Nik Mat.

Kini Yadim diketuai Nakhaie Ahmad, bekas pemimpin PAS.

Semasa PAS dalam BN, kesedaran Islam mula meningkat di kalangan pelajar anak muda. Mereka enggan menyertai PAS kerana ia berada dalam BN. Mereka lebih gemar menyertai ABIM pimpinan Anwar Ibrahim.

Hanya setelah PAS keluar BN, barulah aktivis Islam senang menyertai ABIM termasuklah timbalan Anwar iaitu Ustaz Fadzil Mohd Noor. Pengganti PAS dalam BN ialah Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa).

Untuk sekian lamanya Permatang Pauh adalah kawasan PAS yang mana sukar bagi Umnomenembusinya hinggalah Anwar yang menjadi calonnya pada 1982.

Anwar baru-baru ini berkata usahanya untuk mengalahkan calon PAS itu adalah pilihan raya paling sukar baginya, lebih sukar daripada pilihan raya kecil 26 Ogos ini.

Kegagalan PAS dalam pilihan raya itu membawa kepada tersingkirnya Asri daripada parti itu. Beliau kemudian menubuhkan Hizbul Muslimin (HAMIM) yang menjadi anggota BN bersama Berjasa. Asri kemudian menyertai Umno dalam usahanya untuk membubarkan HAMIM.

Bagaimanapun, HAMIM akhirnya keluar BN dan menyertai Angkatan Perpaduan Ummah bersama dengan PAS dan Berjasa.

Apabila Anwar disingkirkan daripada UMNO, penyokongnya termasuk ABIM menubuhkan Parti Keadilan Nasional (keADILan). Bersama PAS, PRM dan DAP, ia menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya 1999. Kerana Cina menolak PAS, DAP mengalami kekalahan di banyak tempat dan ia keluar daripada BA.

Pergolakan dalam keADILan mendorong ABIM untuk merenggangkan hubungan dengannya. Atas usaha Anwar, keADILan dan PRM digabungkan untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).

BA yang dianggotai PAS dan KeADILan menyertai pilihan raya 8 Mac lalu dengan kerjasama DAP.

Penyokong pembangkang menyebutnya Barisan Rakyat tetapi dinafikan Lim Kit Siang yang tidak mahu dikaitkan dengan PAS.

Tetapi hakikatnya kemenangan 8 Mac adalah sokongan rakyat kepada gabungan serta kerjasdama PAS-KeADILan-DAP bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Demokratik Malaysia (MDP).

Juga PRM yang dihidupkan semula di kalangan anggotanya yang enggan menyertai PKR. Hanya setelah menang Anwar mengumumkan penubuhan Pakatan Rakyat.

Justeru, pilihan raya kecil Permatang Pauh ini merupakan pertandingan pertama bagi calon Pakatan. Anwar bukan saja calon KeADILan tetapi adalah calon semua anggota pakatan termasuk PAS.

Walaupun PAS secara rasmi tidak menangguhkan sokongan Anwar sebagai Perdana Menteri tetapi ia tetap berada dalam Pakatan. Dengan Umno, PAS bermuzakarah. Dengan KeADILan dan DAP, PAS berpakat.

Kemenangan Anwar di Permatang Pauh bergantung pada PAS. Tetapi kemenangan PAS di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor bukan saja bergantung pada Anwar dan KeADILan tetapi juga DAP. Kemenangan PAS pada 8 Mac lalu berdasarkan pada dua mandat.

Satu mandat dari orang Cina dan India yang percaya bahawa PAS adalah untuk semua, dan bukan saja untuk orang Melayu dan Islam.

Sementara mandat kedua datangnya daripada orang Melayu yang selama ini mengundi BN, yang percaya kepentingan Melayu akan lebih terjamin oleh PAS dengan pentadbiran yang telus dan bersih.

PAS mewarisi Hizbul Muslimin dan Dato' Onn sementara KeADILan mewarisi PKMM dan PRM. Pakatan mewarisi perjuangan Abu Bakar Bakir, Burhanuddin Al-Hilmy, Ahmad Boestamam dan juga Onn Jaafar.

'Bertemu Mata Anak Kelantan' bersama Tok Guru


HarakahDaily.Net


Tuan Guru Nik Aziz hadir program Perakan di Bangi 23 Ogos ini

Anis Nazri Thu Aug 21, 08 12:16:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan memeriahkan majlis 'Bertemu Mata Anak Kelantan' bersama anak Kelantan di perantauan di Kompleks Sukan Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, 23 Ogos ini.

Majlis anjuran Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan Malaysia) dengan kerjasama Dun Bangi yang akan bermula jam 9.00 malam itu juga dijangka akan dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato' Husam Musa, Abdul Fatah Mahmood dan beberapa kepimpinan utama kerajaan serta pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Menurut Setiausaha Perakan, Ir Hamzah, tujuan majlis tersebut diadakan bagi menjawab isu-isu semasa yang ditimbulkan terhadap kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS, sekaligus mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri Kelantan dengan rakyatnya yang berada di perantauan.

Menurut beliau, para tetamu yang hadir akan berpeluang untuk mengetahui perkembangan semasa politik tanah air terutama isu-isu berkaitan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Saya bagi pihak penganjur menyeru orang ramai untuk menghadiri majlis ini bagi memeriahkan suasana, di samping mengikuti pelbagai isu-isu politik semasa yang akan disampaikan oleh Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.


Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung majlis ini, boleh hubungi Ir Hamzah di talian 012-3195435 atau lawati laman web http://www.perakan.org.my.

Debat Lim Guan Eng v Koh Tsu Koon

AGENDADAILY
20hb Ogos 2008

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan bekas Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah berentap sakan dalam siri kedua Debat Agendadaily Rabu malam.

Debat dibawah tajuk "Kisah Benar Disebalik Kontroversi Tanah di Pulau Pinang" itu berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Kira-kira 300 orang kebanyakannya pemimpin dan penyokong parti Gerakan dan DAP hadir di dewan itu menyaksikannya.

Ia disiarkan secara langsung pada jam 9 malam menerusi TV9 dan NTV7 manakala siaran tertunda pada jam 12.30 malam di TV3.

Debat siri pertama antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan pada 15 Julai lalu.