Friday, October 24, 2008

Tun Mahathir jawab kenyataan Pak Lah

chedet.com

BIDAS MEMBIDAS

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at October 21, 2008 3:52 PM

1. Saya terkejut apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat kenyataan bahawa sebagai seorang yang bukan ahli UMNO saya tidak berhak memberi pandangan saya terhadap apa yang sedang berlaku dalam UMNO.

2. Saya teringat akan jawapan Tun Abdul Razak sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri apabila ditanya oleh pemberita tentang komen saya berkenaan UMNO dalam tahun 1970. Beliau berkata sebagai orang yang bukan ahli UMNO (saya telah disingkir oleh UMNO pada masa itu) saya bebas berkata apa sahaja.

3. Saya hairan kenapa semasa saya masih ahli UMNO setelah letak jawatan sebagai Presiden UMNO saya juga tidak dibenar berjumpa ahli UMNO dan pemimpinnya dari peringkat bahagian sehingga peringkat Majlis Tertinggi. Ahli UMNO juga dilarang daripada menjemput saya untuk berucap dalam majlis UMNO atau menghadiri apa-apa majlis di mana saya akan berucap. Saya juga tidak dibenar berucap di Universiti. Jemputan kepada saya ditarik balik atas arahan orang tertentu dalam Kerajaan dan parti.

4. Yang mutakhir apabila saya dijemput oleh Kelab UMNO Melbourne dan saya terima untuk membuat ucapan berkenaan tajuk yang tidak menyentuh politik dalam negara, tiba-tiba Kelab UMNO Melbourne menarik balik jemputan atas arahan Ibu Pejabat UMNO.

5. Ternampak jelas samada saya ahli UMNO atau tidak saya tidak dibenar atau dihalang daripada memberi apa-apa pandangan berkenaan UMNO atau berkenaan apa-apa perkara lain.

6. Seperti biasa "orang Pak Lah" menyokong bidasan terhadap saya oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Hanya Dato Seri Rais Yatim dengan berani bertentangan dengan Perdana Menteri dan berkata saya berhak memberi pandangan saya.

7. Buat kali pertama saya bersetuju dengan "orang Pak Lah" bahawa beliau berhak membidas saya, walaupun tindakan beliau tidak boleh ditafsir sebagai "elegant silence" Tun Musa. Tetapi samada saya bidas balik adalah hak saya juga. Jikalau tak bersetuju dengan pendapat saya, itu juga hak masing-masing. Blog saya terbuka. Jika tidak memaki hamun blog saya terbuka kepada Pak Lah dan konco-konconya.

Anugerah Dato' kepada Shahrukh Khan: Komen Tun Mahathir

chedet.com

DATO SHAH RUKH KHAN

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at October 23, 2008 4:21 PM

1. Saya berasa malu apabila anugerah Dato kepada Shah Rukh Khan dipertikaikan. Kita kerap juga memberi gelaran Dato Kehormat kepada orang asing bagi menghargai sumbangan mereka kepada negeri atau negara. Jasa mereka ini kebanyakannya kurang daripada jasa Shah Rukh Khan.

2. Saya terlibat secara langsung dengan kurniaan bintang-bintang kehormatan kepada orang-orang yang berjasa tiap-tiap tahun. Kerap kali saya tidak kenal pun calon-calon yang dikemukakan.

3. Sesungguhnya ramai yang lebih layak daripada calon-calon ini tidak termasuk dalam senarai dan tidak mendapat bintang-bintang kehormatan. Kemudian saya ditanya kenapa beri kepada orang-orang ini dan tidak orang itu. Saya tidak dapat jawab kerana tiada siapa yang diberi tugas memilih calon-calon mengemukakan nama mereka-mereka ini. Mereka juga tersilap. Tiap-tiap tahun ini berlaku.

4. Shah Rukh Khan seperti kita maklum adalah bintang filem Bollywood yang terkenal. Saya telah usaha untuk menarik syarikat-syarikat perfileman Bollywood untuk membuat filem di sini kerana ia akan memperkenalkan Malaysia bukan sahaja kepada penonton filem di India tetapi di Eropah juga. Tujuannya ialah untuk menarik pelancong ke Malaysia.

5. Antara yang sambut jemputan saya ialah Shah Rukh Khan. Dia amat tertarik dengan pemandangan di Malaysia. Banyaklah filemnya yang mempunyai latar tempat-tempat yang menarik di Malaysia.

6. Kita bukan sahaja dapat menarik pelancong tetapi kegiatan perfileman memaksa syarikat-syarikat Bollywood belanja wang yang banyak. Ramai pekerja dan orang lain di Malaysia mendapat banyak nikmat. Ada kalanya Shah Rukh mengadakan pertunjukan percuma untuk bantu badan-badan amal.

7. Kerana Shah Rukh memilih Malaysia untuk membuat filem-filemnya banyak syarikat-syarikat perfileman Bollywood lain turut memilih Malaysia untuk membuat filem mereka.

8. Saya fikir Shah Rukh layak mendapat penghormatan sebagai Dato Kehormat. Ini tidak bermakna artis-artis tempatan tidak layak mendapat penghormatan seperti Shah Rukh. Tetapi janganlah kita tarik balik anugerah ini untuk diberi kepada artis tempatan. Kita punyai banyak bintang kehormatan lagi yang boleh diberi kepada diri kita.

Berita dari Kuala Krai: 24hb Oktober 2008 [Jumaat]

sinar harian
Edisi Kelantan - Berita Daerah

Kejohanan catur cari bakat muda

KUALA KRAI – Kelab Catur Sekolah Menengah Kebang-saan (SMK) Sultan Yahya Petra 2 bakal menganjurkan Kejohanan Catur Terbuka Petra 2 esok bertempat di Dewan SMK Sultan Yahya Petra 2.

Pengarah kejohanan tersebut, Nik Mohd Azrihan Abdul Ghafar berkata, ia dianjurkan bagi mencungkil lebih ramai bakat baru untuk diketengahkan.

“Sukan catur adalah sebuah acara bertaraf dunia dan kita masih belum mempunyai pemain catur Grand Master (GM) dan setakat ini kita hanya ada pemain bertaraf Internasional Master (IM) iaitu Mashafizul Hilmi yang juga anak kelahiran Kelantan.

“Kini beliau satu-satunya rakyat negara ini cuba untuk mencapai tahap GM dan kita tumpang berbangga mengenai pencapaian beliau.

Sehubungan itu, kejohanan ini untuk melahirkan lebih ramai lagi pemain seperti Mashafizul yang layak ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, setakat ini terdapat sebanyak 147 penyertaan dari seluruh negeri termasuk dari Terengganu dan Kedah.

Kejohanan kali ini melibatkan empat kategori iaitu terbuka, 18, 15 dan 12 tahun. Kategori terbuka dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM10, manakala kategori selainnya hanya RM5.

Bagaimanapun, beliau mensasarkan penyertaan bakal mencecah 200 orang menjelang pagi Sabtu ini.

Penyertaan paling ramai setakat ini ialah melalui kejohanan catur terbuka USM dengan 183 peserta. “Kita harap penyertaan akan bertambah menjelang hari pertandingan nanti kerana hadiah ditawarkan juga lumayan.

“Hadiah tempat pertama bagi kategori terbuka ialah wang tunai sebanyak RM300, tempat kedua RM200, tempat ketiga RM150, tempat keempat RM100, dan tempat kelima sehingga ke-10 bakal mendapat RM50 setiap seorang selain sijil penyertaan serta medal.

“Manakala bagi kategori lain menawarkan hadiah wang tunai RM120 bagi johan, RM100 bagi tempat kedua, RM80 bagi tempat ketiga dan sagu hati bagi tempat keempat sehingga ke-10,” kata Nik Mohd Azrihan.

Katanya, penganjuran kejohanan catur di negeri ini masih berkurangan iaitu hanya terdapat kejohanan Terbuka USM dan Terbuka Sekolah Menengah Sains Machang sahaja.

“Penganjuran kejohanan adalah penting untuk mengasah bakat dan kemahiran pemain, lebih banyak pertandingan, maka lebih banyak kemahiran yang diperoleh pemain.

“Di negeri luar lebih banyak penganjuran kejohanan catur diadakan. Di sini, penganjuran kelab kita adalah pihak ketiga mengadakan kejohanan berkaitan.

“Pada kejohanan peringkat kebangsaan lalu, kategori bawah 12 tahun perempuan Kelantan berjaya menggondol pingat emas bagi acara berpasukan. Dua daripada pemainnya adalah daripada Kuala Krai.

Beliau menjangkakan prospek catur pada masa depan akan lebih baik sekiranya terdapat lebih banyak inisiatif untuk mengadakan kejohanan berkenaan.

Katanya, kejohanan kali ini mendapat sokongan banyak pihak termasuk sokongan moral pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran daerah Kuala Krai sendiri. “

Kali ini kita bernasib baik mendapat banyak penajaan hasil usaha pengarah kejohanan bahagian penajaan, Saiful Akrami Mohd. Noor.

“Kami mendapat penajaan termasuk daripada Merina Metal And Trading, Kesedar, Kumpulan Sukimi, Perdana Resort, CIMB, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria, Tabung Amanah Tok kenali dan beberapa penyumbang individu,” katanya.

Nik Mohd Azrihan berkata, kejohanan tersebut bakal bermula dengan pendaftaran seawal jam 8 pagi sebelum pertandingan bermula kira-kira jam 9.30 pagi sehingga 5 petang.