Wednesday, February 11, 2009

Komen Tok Guru mengenai perletakan jawatan V Arumugam

HarakahDaily.Net

Tahniah V Arumugam kerana pertahan prinsip - Nik Aziz

Salmah Mat Husain Tue Feb 10, 09 7:23:24 pm MYT

KOTA BHARU, 10 Feb (Hrkh) - PAS merakamkan ucapan tahniah kepada bekas Adun Bukit Selambau, V Arumugam kerana sanggup menolak tawaran Barisan Nasional (BN) dengan meletak jawatan sebagai Adun.

"Bukan senang nak melepas tekanan daripada Umno dan BN yang mengugut dengan macam-macam perkara," ujar Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditemui pemberita di pejabat Menteri Besar di sini, hari ini.

Kata beliau pada mulanya beliau kesal dengan tindakan bekas Adun terbabit yang mengambil tindakan melepaskan jawatan hanya kerana menghadapi tekanan politik.

Bagaimanapun menurutnya tekanan diterima Arumugan begitu hebat sehingga tidak tertanggung lagi.

"Oleh itu tindakan beliau mengosongkan kerusi Dun yang dipegang sebelum ini wajar sekali.

"Mungkin ugutan yang diterima itu kuat sangat sampai kepada keluarganya. Kerana itu perletakan jawatan Arumugam sebagai langkah terbaik bagi mendapatkan semula mandat daripada rakyat," katanya.

Beliau juga berkata, berlainan dengan situasi di Kelantan kerana rakyat sudah masak dengan tekanan Umno dan BN sejak sekian lama sehingga pernah berlaku perisitwa Mageran pada 1977.
Kata beliau kerana rakyat masak dengan ugutan BN maka pada pilihan raya umum lalu parti itu sekarang hanya tinggal enam kerusi Dun berbanding sebelum ini 22 kerusi.

Petang semalam Menteri Besar, Dato' Seri Azizan Abdul Razak memaklumkan Arumugam meletak jawatan sebagai Adun Bukit Selambau berkuatkuasa serta merta melalui suratnya bertarikh 8 Februari 2009.

Bekas Adun terbabit melalui surat akuan bersumpah juga menjelaskan menerima ugutan sejak memenangi Dun Bukit Selambau pada pilihan raya umum lalu.

Dalam perkembangan lain, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak bersetuju sekiranya Dato' Seri Nizar Jamaluddin dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Bukit Gantang memandangkan dua tugas serentak begitu berat hendak dipikul.

Menurut beliau sekiranya wakil rakyat biasa memikul dua amanah serentak sama ada di peringkat Dun dan Parlimen, ia tiada masalah.

"Tetapi sekiranya seorang Menteri Besar turut memikul tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat di peringkat Parlimen memang berat," katanya.

Anggota Parlimen PAS Bukit Gantang, Roslan Shaharum meninggal dunia akibat serangan jantung tengahari semalam.

Tuesday, February 10, 2009

Calon Parlimen Bukit Gantang: Komen Tok Guru

malaysiakini

Nik Aziz tidak setuju Nizar bertanding di Bkt Gantang

Feb 10, 09 7:24pm

Mursyidul Am PAS tidak bersetuju dengan DAP yang mencadangkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diberi peluang bertanding pada pilihanraya kecil Bukit Gantang nanti.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata selagi Pakatan Rakyat masih menganggapnya menteri besar Perak, adalah tidak sesuai timbalan pesuruhjaya PAS Perak itu dicalonkan bertanding di kerusi parlimen itu, lapor Bernama.

"Kalau tanya saya, saya tidak boleh terima seorang yang berjawatan MB (menteri besar) ambil (wakili kawasan) parlimen... kecuali orang yang tidak berjawatan MB," menteri besar Kelantan dipetik berkata di pejabatnya hari ini.

"Bagi saya, tidak elok kalau MB Perak (Mohammad Nizar) turut bertanding di kawasan lain, sedangkan dia mempunyai kedudukan di kawasan lama.

"Ini seperti yang dilakukan bekas presiden PAS dahulu, (allahyarham) Datuk Asri Muda, yang bertanding di dua kerusi ketika memegang jawatan menteri besar Kelantan."

Nik Abdul Aziz turut memuji langkah anggota Dewan Undangan Negeri(Adun) Bukit Selambau, V Arumugam yang meletak jawatannya itu dan juga exco kerajaan Kedah sebagai "seorang yang berprinsip".

Tambahnya, jika kesihatannya mengizinkan, beliau akan pergi berkempen pada pilihanraya kecil kedua-dua kawasan itu.

Tok Guru sertai sambutan Tahun Baru Cina

Sinar Harian
Edisi Kelantan - 10hb Februari 2009 [Selasa]

Budaya :: Nik Aziz raikan Tahun Baru Cina

GUA MUSANG - Mursidul Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar tetap turun ke jajahan Gua Musang tengah hari semalam biarpun keadaan kesihatannya tidak begitu baik.

Menurutnya, beliau baru sahaja dua hari keluar dari hospital akibat masalah kesihatan.

“Biarpun belum pulih sepenuhnya, tetapi kerana rasa seronok dengan semangat ditunjukkan semua pihak, saya gagahkan diri untuk datang.

“Dalam hidup tidak kira apa kaum pun kita, sebagai manusia ada dua perkara harus dijadikan pegangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Tahun Baru bersama warga emas kaum Tionghua di Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, dekat sini tengah hari semalam.

Beliau berkata, pegangan itu adalah budaya dan adat resam yang mana budaya merupakan tingkah laku diwarisi sejak turun temurun lagi.

Menurutnya, perkara itu terpaksa dijelaskan bagi mengelak kekeliruan sekiranya beliau pergi ke majlis perayaan masyarakat kaum lain.

“Sekiranya tidak diperjelaskan mungkin ada pihak berasa pelik kenapa saya pergi ke majlis perayaan masyarakat tertentu.

“Sekiranya program melibatkan budaya turun temurun saya akan pergi, tetapi jika majlis melibatkan program keagamaan masyarakat lain tidak akan hadir,” katanya.

Beliau berkata, diharapkan dengan penjelasan tersebut, masyarakat kaum lain faham jika dia tidak dapat hadir ke majlis keagamaan mereka.

“Sekiranya majlis seperti hari ini diadakan, saya akan datang kerana ia melibatkan budaya masyarakat Cina,” katanya.

Sementara itu, selepas program tersebut, beliau sempat ke Gua Batu Madu di Batu Papan untuk menikmati keindahan semula jadi gua yang kini menjadi tumpuan masyarakat sebagai destinasi pelancongan.