Monday, August 25, 2008

PAS selar DAP


Sinar Harian

[Edisi Kelantan - Isnin, 25hb Ogos 2008]


DAP tiada hak minta Pas keluar Pakatan Rakyat

SHAH ALAM - Jika DAP menegaskan komponen Pakatan Rakyat (PR) ‘sehati sejiwa’ mengenai prinsip kerjasama termasuk sepakat mengaku Malaysia sebagai sebuah negara sekular, Pas tampil dengan nada berbeza menafikan perkara tersebut.

Ketua Dewan Pemudanya, Salahuddin Ayub menegaskan, prinsip parti itu tidak pernah berubah dan usaha memperjuangkan sebuah negara Islam yang menjadi pegangan parti itu tetap berterusan biarpun pendirian tersebut dilihat terpesong dengan kenyataan ‘rakan kongsinya’, Lim Guan Eng.

Kata Salahuddin, pendirian itu membuktikan sikap dan perjuangan Pas sejak parti itu ditubuhkan dan masyarakat sedia maklum mengenainya termasuk rakan parti komponen PR.

“Sampaikan ‘salam’ saya kepada Guan Eng kalau beliau berkata Pas setuju menjadikan Malaysia sebagai negara sekular kerana Pas akan tetap memperjuangkan sebuah negara Islam yang ditegakkan dengan corak pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz seperti yang sering dicanangkan Guang Eng.

“Kalau beliau berkali-kali kagum dan berkata akan mencontohi corak pemerintahan Khalifah Umar dalam kebanyakan ucapannya di majlis-majlis rasmi, Pas berusaha merealisasikan hasrat itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Setiausaha Agung DAP, Guan Eng semasa merasmikan Kongres Kebangsaan ke-15 parti itu kelmarin yang menyatakan DAP bertekad menentang sebarang usaha menjadikan Malaysia sebuah negara Islam kerana bertentangan dengan wawasan parti tersebut.

Guan Eng pada sidang akhbar selepas itu menegaskan, DAP komited memegang empat prinsip yang disepakati komponen PR iaitu salah satunya mengakui Malaysia akan kekal sebagai sebuah negara sekular.

“Perjuangan Pas adalah berobjektif untuk membentuk sebuah negara Islam,” tegasnya. Mengenai cadangan agar pihak yang memiliki pandangan berbeza bebas meninggalkan PR, Salahuddin menegaskan Guan Eng atau sesiapa sahaja dalam PR tidak berhak membuat kenyataan tersebut.

No comments: