Terus gempur
22hb Ogos 2008
Alhamdulillah gerak kerja kempen semakin menampakkan hasil yang sangat positif. Kelihatan sokongan rakyat lebih hebat berbanding sebelum 8 Mac lepas.
Kendatipun begitu, tidak beerti kita boleh duduk diam. Kita perlu komited menyebarluas komitmen kita memperbaiki ekonomi negara, seterusnya memperbetulkan sistem politik sempit yang kian menekan rakyat.
Dua hari lepas saya melalui peguam SN Nair mengemukakan notis ke atas bekas Pengerusi Felcra, Hamzah Zainudin yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah ke atas saya.
Saya tidak berminat untuk melayan fitnah murah ciptaan mereka. Episod fitnah 1998 diulang-ulang, sehingga mendatangkan muak di kalangan rakyat!
Kelihatan BN tidak belajar dari kesilapan, di saat mereka terus memanipulasi media dengan propaganda picisan, rakyat kian celik dan berfikir di luar kotak.
Kemelesetan ekonomi, kesempitan hidup rakyat, keselamatan rakyat yang terabai terus mereka tenggelamkan. Dasar ekonomi yang parah tidak pernah mereka sentuh, sebaliknya hanya melempar fitnah, fitnah, dan fitnah.
Rakyat tidak mahu fitnah sebagai penyelesai masalah, yang rakyat pinta ialah dasar yang progresif, sistem yang bersih dari anasir merusak politik negara.
Jika berterusan begini biar mereka terjun dengan labu-labunya.
Manakala kita akan terus mara dan menggempur ke hadapan!
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment