Tuesday, September 23, 2008

Berita dari Kuala Krai: 23hb September 2008 [Selasa]


Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Berita Daerah]

Warga emas lumpuh nyaris terbakar

KAMPUNG SUNGAI PERIA - Seorang warga emas yang lumpuh terselamat, dalam satu kebakaran yang memusnahkan keseluruhan kediamannya kira-kira jam 10 pagi dekat sini, semalam.

Maimunah Abdul Mutalib, 70-an, yang merupakan ibu kepada calon Pas pada Pilihan Raya Ke-11 pada 2004, Zamzuri Mat Lazim yang menentang calon BN, Zulkifli Omar, terselamat apabila dia sempat mengesot menjauhi api selepas nyalaan diangnya (tempat untuk memanaskan badan) dipercayai menyambar tilam dan dinding rumahnya.

Menurut cucunya, Azhar Shafie, 33, yang tinggal bersebelahan, ketika kejadian dia mendengar neneknya mengetuk lantai dengan kuat untuk menarik perhatian.

“Saya hairan kerana dengan keadaan tersebut, lalu naik ke atas rumah dan mendapati tilam dan dinding bahagian dapur telah marak disambar api.

“Nenek saya mengesot berdekatan peti sejuk menjauhi api. Selepas itu, saya membawa nenek keluar dari rumah sebelum jiran lain datang memberi pertolongan dan menghubungi talian kecemasan,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Katanya, selepas membawa keluar neneknya, berlaku beberapa letupan kuat dari atas rumah dan dipercayai berpunca daripada tong gas.

Namun katanya, dia bersyukur kerana kediamannya sempat diselamatkan dan hanya melibatkan tingkap rumahnya yang pecah akibat bahang kebakaran tersebut.

Manakala menurut anak ketiga Maimunah, Mohd. Zainun Mat Lazim, 50, ibunya tinggal bersama bapanya, Mat Lazim Ismail, 73.

“Ibu saya menghidap lumpuh sejak empat bulan lalu. Dia sering berdiang setiap pagi menggunakan daun ubatan herba.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kedua ibu bapa saya selamat walaupun rumah mereka musnah sepenuhnya,” jelasnya.

Maimunah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawa-tan selepas terkejut dengan kejadian tersebut.

Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Kuala Krai, Mohd. Nasir Hassan berkata, pihak bomba menerima panggi-lan pada jam 10.19 pagi.

“Pihak bomba dengan tujuh anggota dan sebuah jentera dan sebuah van bergerak keluar sejurus menerima panggilan daripada ibu pejabat.

“Ketika kami tiba api telah memusnahkan hampir keseluruhan kediaman. Namun, kami berjaya mengawal api daripada merebak ke kediaman bersebelahan,” ujar Mohd. Nasir.

Katanya, punca kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian dapur dan kemusnahan melibatkan 95 peratus bangunan kediaman jenis kekal tersebut.

Pihak bomba menggunakan sumber air daripada sungai berdekatan untuk mengawal kebakaran.

No comments: