Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Muka Depan - 23hb September 2008]
Warga emas ditangkap minum di restoran siang hari
KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan sikap sesetengah warga emas yang sengaja tidak berpuasa tanpa sebarang sebab.
Lebih dikesalkan lagi ada yang tidak berpuasa dengan megah makan di khalayak ramai pada siang hari, seolah-olah mereka mereka mempunyai keistimewaan di sisi agama.
"Ini adalah satu tabiat buruk dan memalukan Islam, sedangkan kerajaan sudah berusaha keras selama ini untuk memberi kesedaran Islam dalam kalangan orang ramai.
“Sepatutnya warga emas atau pun individu yang diwajibkan berpuasa dapat menjadi contoh kepada yang lain tetapi sedihnya mereka ingkar untuk melaksanakan rukun Islam ketiga,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mursyidul Am Pas itu berkata demikian ketika diminta mengulas tangkapan melibatkan seorang warga emas yang tidak berpuasa, Khamis lalu.
Beliau berkata sepatutnya, pada hari terakhir Ramadan kita berebut untuk melakukan amal ibadat bagi mendapat keampunannya.
“Kerajaan telah menjalankan pelbagai pendekatan untuk mengagamakan umat Islam tetapi masih ada yang tidak mengikuti ajaran Islam,” katanya.
Dalam kejadian itu, alasan sakit dan perlu makan ubat yang digunakan seorang warga emas untuk mengelak daripada ditahan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) semalam tidak dapat mengecualikannya daripada disabitkan kesalahan.
Lelaki terbabit dan juga seorang kontraktor ditahan di sebuah restoran kerana merokok dan tidak berpuasa kira-kira jam 11 pagi Khamis lalu.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAHEAIK, Mohd Ab Aziz Mohd Nor berkata warga emas tersebut diberkas ketika merokok.
“Ketika ditahan warga emas ini menyatakan dia sakit dan terpaksa minum untuk menelan ubat malah dia juga mengaku telah minum sebelum merokok.
“Bagaimanapun dia memberikan pelbagai alasan kepada pegawai bertugas tetapi kami tetap membawanya ke mahkamah untuk pengadilan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya dekat sini.
Mohd Ab Aziz menjelaskan sempena Ramadan JAHEAIK bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam menjalankan Operasi Ramadan bagi mencegah kemungkaran.
Ini adalah tangkapan pertama di Kota Bharu dan kita berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
Berhubung kesalahan di bawah Seksyen 26 Kanun Jenayah Syariah ia boleh dikenakan denda maksimum RM500 dan hakim Mahkamah Rendah Syariah, Nik Najib Che Hassan menjatuhkan hukuman RM450 terhadap warga emas terbabit.
No comments:
Post a Comment