Tuesday, September 23, 2008

Ihya Ramadhan di Kota Bharu


HarakahDaily.Net

DIGI taja khemah Tarawih berhawa dingin RM100,000

Ramli Yamat Mon Sep 22, 08 3:31:35 pm MYT

KOTA BHARU, 22 Sept (Hrkh) - Sebanyak RM80,000 diterima Majllis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) hasil sumbangan syarikat swasta dan badan berkanun bagi mengisi dana Ramadannya tahun ini.

Bantuan tersebut kemudian diagih kepada fakir miskin dan anak-anak yatim bagi meringan bebanan yang ditanggung golongan tersebut terutamanya bagi menyambut kedatangan 1 Syawal tidak lama lagi.

Pengarah Pembangunan Islam, MPKB-BRI, Ropein Hassan berkata, sebanyak RM40,000 disumbangkan DIGI Communications, Yayasan Kelantan Darul Naim (RM20,000) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (RM20,000).

Katanya, setiap penerima diberi sebanyak RM120 seorang iaitu RM100 dalam bentuk tunai manakala selebihnya berupa barangan seperti sejadah.

"Majlis penyampaian diadakan sebanyak dua kali iaitu pada 12 dan 20 Ramadan lalu sempena Majlis Iftor Jama'ii Perdana di Khemah Tarawih (Qaryah Ramadan) bertempat di Dataran Stadium," katanya di sini.

Sehingga kini seramai 200 anak yatim dan 200 fakir miskin yang tinggal di sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang terletak dalam kawasan MPKB-BRI menerima sumbangan berkenaan.

Ropein berkata, pemilihan mereka yang layak untuk menerima sumbangan tersebut dibuat oleh penghulu kampung masing-masing sebelum nama mereka diserahkan kepada Dun.

Menurutnya setiap Dun dikehendaki menghantar 20 nama anak yatim dan fakir miskin kepada MPKB-BRI bagi tujuan berkenaan.

Dun terlibat iaitu Kijang, Chempaka, Panchor, Demit, Pasir Tumboh, Salor, Kota Lama, Bunut Payung dan Tanjung Mas.

Selain itu DIGI juga membelanjakan sebanyak RM100,000 bagi menyediakan khemah Tarawih yang berhawa dingin bagi memberi keselesaan kepada jemaah menunaikan solat Tarawih di Qaryah Ramadan.

MPKB-BRI turut mengalu-alukan sumbangan orang-ramai untuk menyumbangkan derma bagi menyemarakkan Program Ihya' Ramadan tahun ini.

No comments: