Tuesday, October 7, 2008

Aidilfitri: 1 Syawal di Serambi Mekah

HarakahDaily.Net

Kelainan 1 Syawal di Kelantan begitu terasa

Muhd Yusri Amin, Mohd Nor Yahya Mon Oct 06, 08 10:32:28 am MYT

KOTA BHARU, 6 Okt (Hrkh) - Biar pun suasana kegembiraan Hari Raya Aidilfitri semakin berlalu, namun bahangnya masih terasa dengan pelbagai kenduri kendara yang diadakan penduduk.

Kesesakan lalu lintas masih dirasai sehingga semalam memandangkan anak-anak perantau kembali semula ke destinasi mereka. Begitu juga dengan letupan mercun masih kedengaran di sana sini.

Kesyahduan 1 Syawal lalu begitu dirasai apabila pada malam raya kedengaran takbir dilaungkan di corong-corong masjid hampir di segenap tempat. Bermula jam 11 malam sehingga Subuh laungan takbir bergema.

Namun, malam raya agak tercemar dengan letupan mercun yang bertalu-talu seumpama lokasi peperangan di Palestin, Afghanistan atau Iraq. Asap mercun begitu kelam sekali sehingga menjadi jerebu pada malam raya.

Biar pun apa pun kelainan Syawal di Kelantan dapat dilihat apabila Qaryah Ramadan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV masih menjadi tumpuan penduduk tempatan dan anak perantau menunaikan solat Hari Raya.

Turut kelihatan di qaryah tersebut anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Takiyuddin Hassan dan pegawai kanan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Manakala Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menunaikan solat Aidilfitri di masjidnya di Pulau Melaka dengan kehadiran orang ramai yang begitu menyedatkan.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob pula menunaikan solat Hari Raya di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat.

Anak-anak perantau pula tidak melepaskan peluang menghadiri perjumpaan Aidilfitri bersama pemimpin kerajaan negeri pada 2 Syawal bertempat di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Pengkalan Chepa.


Di kalangan siswazah pula berkempatan bertemu dengan pemimpin kerajaan negeri pada Ijtimak Markaz Siswazah Kelantan yang diadakan pada 3 Syawal di Balai Islam Lundang.
Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK) pula mengadakan perhimpunan keluarga pada 4 Syawal yang dihadiri lebih 200 keluarga.

Perhimpunan itu diadakan di Pulau Melaka tidak jauh daripada rumah Menteri Besar yang juga penaung pertubuhan tersebut.

Jurucakap pertubuhan tersebut Nik Din Nik Mat berkata, melalui perhimpunan keluarga tersebut ia dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim di antara keluarga yang tinggal di seluruh pelusuk negara.

Katanya, perhimpunan seperti itu dijadikan sebagai acara tahunan yang bermula pada 1991.

"Saya amat terharu kerana pertubuhan ini berjaya menyatupadukan keluarga keturunan Raja Jembal yang sememangnya terkenal dengan pemerintahan yang adil dan saksama di Kelantan suatu ketika dahulu.

"Kalau Raja Jembal masih ada tentunya dia akan gembira melihat betapa ramainya anak cucu berkumpul dan saling sayang menyayangi di antara satu sama lain," kata beliau.

Yang Dipertua PKRJK, Nik Yusuff Nik Muhammad berharap kerabat pertubuhan tersebut sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama di antara satu sama lain.

Menurutnya semua kerabat mesti mempertahankan maruah keturunan Raja Jembal yang sentiasa bersatu padu, tolong menolong dan maju ke hadapan dalam pelbagai bidang.

"Raja Jembal merupakan seorang pemimpin yang disegani di Kelantan pada suatu ketika dahulu. Oleh itu kita perlu memastikan kehormatan diberi rakyat sejak dahulu terus dipertahankan," katanya.

Kata beliau sehingga sekarang ramai di kalangan kerabat Raja Jembal berjaya dalam pelbagai bidang termasuk pegawai tinggi kerajaan, menerajui syarikat besar, tokoh politik dan korporat.
.

Menurutnya juga PKRJK kini mempunyai seramai 1200 ahli dari seluruh negara dan mempunyai cawangan di Kedah dan Perak. Manakala usaha sedang dilakukan bagi menubuh cawangan di Terengganu.

PKRJK juga mempunyai laman web sendiri iaitu pkrjk.blogspot.com.
Sementara itu, Persatuan Penulis Kelantan (PPK) turut mengadakan majlis Pertemuan Hari Raya Aidilfitri di Gelanggang Seni, Sabtu lalu.

Turut hadir pada majlis itu pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin mewakili Takiyuddin.

Berucap pada majlis itu katanya, kerajaan negeri mengisytiharkan Tahun 2009 sebagai Tahun Kesenian Kelantan sebagai usaha memartabatkan lagi seni budaya di negeri ini.

Katanya, mana-mana penyelidik yang berminat mencungkil mengenai kebudayaan dan kesenian dialu-alukan dan ia akan dibukukan sebagai bahan tatapan pelancong dan generasi akan datang.

"Sebenarnya masih banyak maklumat mengenai kebudayaan dan kesenian yang belum diangkat ke persada masyarakat. Oleh itu budayawan perlu mengembelingkan usaha bersama kerajaan negeri bagi mengetengahkan kesenian tersebut," katanya.

Beliau juga mencadangkan PPK memberi tumpuan bagi memartabatkan syiar Islam melalui aktivitinya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Ketua Satu PPK, Husdaini Mamat berharap kerajaan negeri menghidupkan semula anugerah Hadiah Sastera Negeri yang suatu ketika dahulu pernah diadakan di Kelantan.

Katanya, program itu wajar diadakan memandangkan di negeri ini terdapat ramai penulis yang berbakat besar dalam bidang penulisan.

Penyair terkenal, Wan A Rafar mendedahkan pengalamannya mengembara ke beberapa negara pada majlis tersebut termasuk di Istanbul, Turki, Bosnia dan beberapa negara Eropah untuk berrtemu dengan masyarakat Islam di sana.

"Hasil pengembaraan itu saya telah menulis dua buah puisi mengadunkan pengalaman yang amat bermakna," ujarnya.

No comments: