Edisi Kelantan - Berita Daerah
Warga emas terima agihan duit raya
KUALA KRAI – Warga emas dan golongan miskin daerah ini bersyukur pada tahun ini kerana berpeluang menyambut Aidilfitri dalam suasana lebih selesa apabila menerima sumbangan hari raya anjuran Parlimen Kuala Krai dengan kerjasama Unit Kebajikan Dan Amal Jariah Datuk Seri Dr Mohd Eusuff Teh dekat sini, kelmarin.
Menurut salah seorang penerima, Sara Che Man, 64, sambutan hari raya tahun ini lebih bermakna apabila sumbangan yang diterima dapat digunakan untuk persediaan Aidilfitri.
“Makcik tinggal seorang diri sahaja di rumah kerana anak-anak seramai tujuh orang tinggal jauh dan dengan sumbangan yang diterima ini dapatlah digunakan untuk Aidilfitri kali ini.
“Sebelum ini jarang sekali makcik menerima sumbangan hari raya atau zakat dan persediaannya juga secara kecil-kecilan sahaja,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi penerima, Esah Sulaiman, 70, dari Kuala Pertang berkata, sumbangan yang diterimanya dapat digunakan untuk keperluan makan dan minum untuk hari raya kali ini.
“Menerusi sumbangan ini, dapatlah makcik sediakan juadah yang lebih sedikit untuk beraya bersama anak cucu kerana sebelum ini sambutan hari raya tiada bezanya memandangkan kami orang susah dan tiada persiapan dilakukan.
“Makcik tinggal bersama seorang anak, Hasnah Ismail, 40-an, yang juga seorang ibu tunggal dengan enam orang anak,” ujarnya. Esah yang lumpuh sejak sembilan tahun lalu terpaksa berjalan dipapah oleh cucunya, Norheriyana Mat Arifin, 13.
Dia yang kematian suami sejak tiga tahun lalu, mempunyai tujuh anak dan kebanyakannya tinggal jauh.
No comments:
Post a Comment