Tuesday, October 7, 2008

Aidilfitri: Sambutan bersama Dewan Ulama Kelantan

HarakahDaily.Net

Ulama tunjuk bakat sedia nasi bukhari

Lanjusoh Mon Oct 06, 08 12:58:32 pm MYT

KOTA BHARU, 6 Okt (Hrkh) - Ribuan rakyat Kelantan dijangka memenuhi Dataran Stadium Sultan Mohammad ke IV Khamis ini (9 oktober) bagi menikmati keenakan aneka juadah sempena hari terbuka Perhubungan PAS Kelantan.

Pelbagai aneka juadah, makanan dan minuman disediakan 14 PAS kawasan, Dewan Ulamak PAS Negeri, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Program yang menjadi acara tahunan sejak beberapa tahun lalu itu mendapat sambutan di luar jangka apabila lebih 10,000 hadir.

Dan tahun lepas lebih 20,000 penduduk menghadiri program berkenaan yang juga diadakan di Dataran Stadium biar pun dalam keadaan hujan lebat.

Program tahun ini dijangka lebih meriah dengan kehadiran Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke majlis tersebut. Jamuan akan bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

Pada jam 11.30 pagi Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Yassin Yusof berkata, wakil-wakil rakyat yang hadir juga diberi kesempatan untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Raya kepada tetamu dan orang ramai yang hadir pada program tersebut.

"Pada program itu Dewan Ulamak akan menyediakan nasi bukhari, Dewan Muslimat (kuih muih), Dewan Pemuda (pelbagai jenis minuman), PAS Pengkalan Chepa dan Kota Bharu (satay).
"Ketereh (roti jala), Gua Musang (martabat) dan Kuala Krai (lemang dan ketupat)," katanya di sini.

Manakala pada sebelah malam akan diadakan ceramah perdana yang menampilkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Anwar, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan anggota parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail di stadium.

Pada majlis berasingan sebelum itu, Ketua Umum KeADILan dijangka menghadiri rumah terbuka anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah pada sebelah petang.

No comments: