Monday, December 1, 2008

Banjir di Pantai Timur

HarakahDaily.Net

Banjir: Terengganu makin pulih, mangsa di Kelantan meningkat
.
.
Irwan Mohd Zain Mon Dec 01, 08 1:54:38 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Hrkh) - Agensi Berita Nasional (Bernama) melaporkan jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,513 orang setakat ini berikutan hujan lebat malam tadi - meningkat 660 orang berbanding semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir Kelantan berkata 819 orang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Pasir Mas, Tanah Merah (305), Kuala Krai (291), Jeli (95) dan Kota Bharu tiga orang.

Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu masih ditutup kepada kenderaan ringan.

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi paras bahaya manakala tujuh lagi sungai utama di Kelantan berada pada tahap berjaga-jaga.

Sementara itu keadaan banjir di Terengganu semakin pulih, terutama di Hulu Terengganu di mana semua pusat pemindahan banjir di daerah itu ditutup hari ini.

Kesemua baki sembilan orang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Hulu Terengganu dibenar pulang ke rumah masing-masing malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata sehingga jam 9 pagi ini, 292 orang masih berada di pusat pemindahan di tiga daerah di negeri ini - 124 di Besut, 143 (Marang) dan 25 (Setiu).

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di daerah Marang dijangka akan bertambah ekoran hujan lebat sejak jam 2 pagi hingga 6 pagi ini.

Paras air sungai Marang di Pengkalan Berangan kini berada di paras waspada (12.73 meter) manakala sungai Setiu di Kampung Bukit mencatat 12.13 meter.

Jalan-jalan yang masih ditutup ialah jalan Jertih-Hulu Besut, Jalan Pengkalan Berangan-Pulau Kerengga, Jalan Sungai Tong-Pelong, Jalan Matang-Telemong dan Jalan Permaisuri-Hulu Seladang kerana ditenggelami air sedalam antara 0.45 meter dan 1.5 meter.

Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang juga ditutup kepada semua kenderaan kerana Jambatan Temala rosak.

Manakala jumlah mangsa banjir di Pahang sehingga pagi ini ialah 108 orang daripada 22 keluarga.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata seramai 92 orang ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Batu Kapur, Temerloh manakala 16 lagi mangsa daripada empat keluarga dari Lembah Bertam, Ringlet, Cameron Highlands ditempatkan di dewan orang ramai Ringket.

No comments: