Monday, December 1, 2008

Persediaan banjir bersama ADUN Guchil

Sinar Harian
Edisi Kelantan - Berita Daerah (Kuala Krai) - 1hb Disember 2008

Sumbangan sampan bantu penduduk

KAMPUNG BELANGA – Penduduk kampung ini yang sering terperangkap di dalam banjir setiap kali musim tengkujuh, mendapat ke-mudahan baru apabila diberikan sebuah sampan disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria dekat sini, semalam.

Tuan Zamri Ariff berkata, sebuah sampan disediakan secara percuma untuk kemudahan penduduk Kampung Belanga yang ingin keluar masuk, apabila air sungai melimpah dan sekali gus memutuskan hubungan penduduk dengan jalan keluar utama.

Menurut Tuan Zamri Ariff, setiap kali musim banjir, penduduk di kawasan ini terkepung di antara dua buah sungai dan kebanyakan mereka tidak mempunyai kemuda-han sampan sendiri kerana hanya menggunakan sampan penambang yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

“Melalui kemudahan sampan ini, mereka dapat menggunakannya secara percuma dan tidak perlu lagi menggunakan sampan penambang,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Ketua Cawangan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Kampung Belanga, Abdul Halim Mamat berkata, kawasan berkenaan mempunyai kira-kira 50 buah kediaman keluarga.

“Kebanyakan penduduk di sini sering berulang-alik keluar ke bandar setiap hari untuk bekerja, namun sejak bertahun-tahun dahulu tiada sebarang kemudahan sampan diberikan.

“Alhamdulillah dengan adanya sebuah sampan ini, kami dapat sama-sama menggunakannya untuk keluar masuk pada musim tengkujuh ini. Ia amat penting untuk kegu-naan penduduk keluar bekerja dan keluar mendapatkan barangan keperluan seharian.

“Biasanya kami hanya menumpang sampan orang lain dan menggunakan sampan penambang apabila laluan di sini ditenggelami air banjir,” katanya.

Abdul Halim berkata, keadaan banjir di kawasan ini agak teruk apabila air sungai melimpah dan mereka di kampung ini berada di kawasan tengah apabila air Sungai Belanga dan Sungai Temalir melimpah.

Katanya, paras air di sini pernah mencecah sehingga melebihi dua kali dan tiada alternatif lain untuk kami keluar melainkan meredah banjir menggunakan sampan.

Menurut Abdul Halim, beliau amat berterima kasih kepada Tuan Zamri Ariff memberikan sampan berkenaan yang dapat digunakan untuk semua penduduk secara percuma.

Beliau berkata, penggu-naan sampan juga amat penting dalam keadaan musim tengkujuh ini, terutamanya untuk situasi kecemasan termasuk ketika berlaku masalah kesihatan dan memerlukan penduduk keluar ke klinik atau hospital.

Sinar Harian difahamkan, sebuah sampan berkenaan bernilai RM1,100 dan selain Kampung Belanga, Kampung Hamzah juga turut mendapat sebuah sampan untuk kegunaan pemindahan penduduk sekitar.

Di Kampung Hamzah, terdapat kira-kira 20 buah keluarga mendiami kawasan tersebut yang dikatakan agak rendah dan sering ditenggelami air.

Lain-lain kawasan di DUN Guchil yang sering menjadi lokasi banjir ialah sekitar Kampung Tok Bok, Kampung Kenor, Kampung Tualang, Kampung Bekok, Kampung Aur Duri dan Kampung Gatal.

Bot berkenaan juga digunakan Tuan Zamri Ariff untuk membuat tinjauan dan pemantauan kediaman penduduk yang terlibat dengan banjir.

No comments: