155 anggota Unit Amal siap sedia bantu mangsa banjir
Rizal Tahir Mon Dec 01, 08 8:58:35 pm MYT
KOTA BHARU, 1 Dis (Hrkh) - Seramai 155 orang angota Unit Amal akan ditempatkan di setiap parlimen di seluruh Kelantan sebagai persiapan untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di negeri itu.
Pengarah Unit Amal Negeri, Hafis Musa, ketika dihubungi memberitahu, bagaimanapun jumlah anggota itu akan ditambah bila-bila masa jika diperlukan mengikut keperluan.
Pengarah Unit Amal Negeri, Hafis Musa, ketika dihubungi memberitahu, bagaimanapun jumlah anggota itu akan ditambah bila-bila masa jika diperlukan mengikut keperluan.
"Setakat ini kami akan menempatkan setiap parlimen sekurang-kurangnya 10 orang anggota yang sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.
Hafiz seterusnya berkata, memandangkan tugas unit tersebut begitu mencabar serta memerlukan kepakaran, baru-baru ini Unit Amal yang akan bertugas sewaktu banjir telah mengikuti latihan selama tiga hari dengan beberapa agensi kerajaan.
Selain itu, katanya Unit Amal juga akan menyediakan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan, bot dan kenderaan pacuan empat roda bagi memudahkan unit terbabit membuat rondaan dan menyelamat.
Sambungnya lagi, antara kerja-kerja menyelamat yang akan dilaksanakan seperti pemindahan mangsa banjir ke pusat perpindahan di samping menjaga keselamatan harta benda mereka ketika mangsa di pusat perpindahan.
"Dalam masa yang sama Unit Amal juga akan mengedarkan buku panduan dan doa untuk menghindarkan diri dari bala khususnya pada musim banjir," ujarnya.
Sementara itu, Unit Amal negeri kini dalam proses mengumpul dana bagi membantu mangsa banjir khususnya untuk menyediakan keperluan asas untuk mereka seperti selimut, tikar, makanan dan lain-lain keperluan yang penting.
"Dalam masa yang sama kami juga memerlukan bahan makanan, pakaian dan juga bekalan air bersih untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir selain sumbangan berbentuk kewangan," ujarnya.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Pengarah Unit Amal Negeri, Hafis Musa di talian 019-9817327 dan Setiausaha Unit Amal Negeri, Muhamad Hanif Wan Ahmad di talian 013-9420123.
Manakala sumbangan wang tunai ataupun cek boleh di masukan ke akaun Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) di atas nama Jabatan Amal Kelantan, no akaun 03018010118457. - mns_
No comments:
Post a Comment