Wednesday, December 3, 2008

Banjir: Nasihat MP Kuala Krai

sinar harian
Edisi Kelantan - Berita Daerah [3hb Disember (Rabu)]

Jaga kesihatan elak penyakit

KUALA KRAI – Orang ramai diingatkan, tidak menjadikan banjir sebagai suatu pesta keraian ‘bermain air’ dan sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka, agar tidak mendekati kawasan ber-kenaan.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md. Ramli berkata, sejak bertahun-tahun lalu, pengalaman sebelum ini menyaksikan banyak kes kecelakaan meragut nyawa akibat banjir di seluruh negeri.

Menurut Mohd Hatta, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dan sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka supaya tidak mendekati kawasan banjir.

“Walaupun ada sesetengah kawasan surut airnya, tetapi kita tidak tahu mengenai keadaan kawasan tersebut, sama ada mempunyai paya atau lopak dalam.

“Anak-anak leka untuk bermain di kawasan sekitar banjir perlu sentiasa diawasi untuk mengelak kejadian tidak diingini.

Ada sesetengahnya asyik mencari atau menangkap ikan sewaktu musim begini.

“Kita tidak nampak bagaimana bentuk muka bumi yang ditenggelami air, silap perhitungan kita mungkin terjatuh ke dalam kawasan dalam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Mohd Hatta berkata, orang ramai juga perlu peka mengenai arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa untuk mengetahui berita dan maklumat terbaru mengenai kea-daan banjir.

Katanya, orang ramai perlu peka mengenai maklumat dan info daripada pihak berkuasa mengenai amaran banjir agar semuanya dapat dipersiapkan lebih awal.

Beliau berkata, dalam masa sama, amalan pemakanan juga perlu dijaga untuk mengelakkan jangkitan penyakit bawaan air kerana musim begini, penyakit berjangkit mudah berlaku.

“Minumlah air yang telah dimasak sepenuhnya agar kesihatan terjamin. Jangan memakan makanan yang mentah atau separuh masak kerana kita tak mahu apa yang disebat ‘sudah jatuh ditimpa tangga.’

“Sudahlah rumah ditenggelami air, ahli keluarga pula terpaksa dimasukkan ke hospital akibat menghidap penyakit berjangkit.

Semua ini perlu diambil kira untuk kesejahteraan anda sekeluarga,” kata beliau.

No comments: