Wednesday, December 3, 2008

Derma untuk yang kurang bernasib baik sempena Aidiladha ini

HarakahDaily.Net

Misi 'Aidiladha' bantu 600,000 pelarian perang
Harakahdaily Wed Dec 03, 08 9:59:00 am MYT

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Hrkh) - Rumah dibakar, tanah dirampas manakala kanak-kanak menjadi yatim piatu kerana kehilangan orang tersayang akibat peperangan yang berlaku di Wilayah Islam Mindanao, Filipina.

Angka pelarian perang di Cotabato, Marawi dan beberapa bandar lain di Mindanao sudah menjangkau 600,000 umat Islam sehingga menjadikan kehidupan mereka sangat daif dan memerlukan kepedulian masyarakat antarabangsa.

Atas rasa kemanusiaan dan keprihatinan untuk menghulur bantuan, sepasukan rombongan Yayasan Amal Malaysia (AMAL) akan berangkat ke Mindanao yang dianggotai 13 orang, terdiri daripada dua orang doktor, mahasiswa termasuk wakil daripada Harakah dan Harakahdaily Azamin Amin.

Mereka dijangka berada di wilayah tersebut bermula sehari sebelum Hari Raya Aidiladha pada 7 Disember sehingga 12 Disember depan.

Menurut ketua rombongan yang juga Presiden AMAL Husin Ismail 'Misi Kemanusiaan Qurban dan Perubatan' di Mindanao ini adalah bertujuan membantu dan meringankan beban saudara se-islam yang terdiri daripada kalangan warga tua dan kanak-kanak yang menjadi yatim piatu kerana ibu bapa menjadi mangsa korban perang.

Katanya peperangan kerap kali meletus berikutan perjanjian damai yang terbatal sejak 5 Ogos lalu untuk memberi kuasa autonomi dan wilayah kepada umat Islam di Mindanao.

"Hidup mereka sangat daif. Kita datang untuk melakukan Qurban untuk diagihkan kepada mangsa peperangan itu di samping mengadakan jamuan makan, memasak, program perubatan dan rumah anak yatim untuk mereka.

"Setakat ini dana yang dikumpul mencukupi untuk melakukan Korban sejumlah 37 ekor lembu dan 39 ekor kambing selain bantuan ubat-ubatan yang lain," katanya ketika dihubungi.

Husin berkata program rawatan kesihatan dan perubatan tersebut akan dikendali oleh dua orang doktor daripada pasukan AMAL, Dr Faizul Fazli dan Dr Shah Jehan dengan kerjasama doktor-doktor tempatan di sana dan akan turut dibantu oleh NGO utama iaitu Bangsamoro Development Agency (BDA)

"Masyarakat Islam Bangsamoro memerlukan bantuan doa, pakaian, ubat-ubatan dan makanan untuk meneruskan perjuangan menuntut hak mereka yang telah di rampas oleh Kerajaan Filipina.

"AMAL berharap lebih ramai rakyat Malaysia yang tampil untuk menghulurkan derma dan membuat Aqiqah untuk masyarakat di sana. Program kita tidak terhad untuk Aidiladha sahaja bahkan akan terus ada aktiviti susulan," katanya.

Untuk menderma atau maklumat lanjut boleh mengubungi Pegawai AMAL Muhammad Faiz Mohd Nor di talian 017-2488130 atau layarai laman web AMAL di www.amalmalaysia.net/v1/_

No comments: