Thursday, December 31, 2009

Menutup tirai 2009 dengan harapan..


Malam ini berakhirnya satu lagi tahun (2009) yang penuh dengan isu dan drama terutamanya yang membabitkan soal politik tanah air.

2009 membariskan pimpinan baru PAS yang sehingga kini masih terdapat sedikit pertikaian lantaran pendekatan pimpinan terbabit dilihat cuba merapatkan jamaah dengan seteru politik iaitu Umno. Mursyidul Am terpaksa memberi kata dua kepada beberapa kerat pemimpin agar melupakan hasrat mereka itu.

2009 menjadi saksi kepada tindakan beberapa orang ahli keluarga pemimpin utama di Kelantan yang dilihat cuba membawa parti dan kerajaan negeri mengikut haluan mereka sendiri. Pendokong PAS agak rimas dengan situasi ini dan berharap peristiwa ini segera diluputkan.

2009 menjadi landskap kepada beberapa siri pilihanraya kecil disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Bermula di Kuala Terengganu dan berakhir di Port Dickson. Kecuali Kuala terengganu telah dirampas oleh PAS, selebihnya menunjukkan status quo.

2009 mempersembahkan siri drama perebutan kuasa di negeri Perak yang akhirnya menjadi milik Barisan Nasional setelah sistem kehakiman turut terjerumus ke dalam konflik ini.

Kuharapkan kehadiran 2010 bakal menyaksikan perubahan yang amat positif terhadap perkembangan politik PAS agar sama-sama menumpukan satu tumpuan dan impian..

Meranapkan kepimpinan yang rakus!!
.
mahathirismail
Seri Kembangan

Ulasan Husam berkenaan artikel kontroversinya

malaysiakini

Husam: Artikel saya bukan sindir MB
Dis 30, 09 11:38pm

Datuk Husam Musa, yang menggesa pentadbiran kerajaan dipisahkan daripada kepentingan keluarga, hari ini menafikan tegurannya ditujukan kepada menteri besar Kelantan. Exco kerajaan Kelantan itu berkata tulisan dalam blognya 'Malaysia atau diri' kelmarin "bukan bermaksud menuding sesiapa, apa lagi kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat", lapor media rasmi PAS.

Mengulas berita di akhbar Utusan Malaysia hari ini yang menyifatkan coretan blognya itu sebagai sindiran kepada mursyidul am PAS, khususnya berhubung pelantikan menantunya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Husam dipetik berkata ia seolah-olah ingin melaga-lagakannya dengan Nik Abdul Aziz.

"Tidak betul macam itu, kenapa saya nak sindir Tuan Guru (Nik Abdul Aziz), saya sendiri ada keluarga, ada adik-adik, bahkan adik saya sendiri pernah ditemuduga oleh sebuah agensi kerajaan negeri beberapa tahun lalu," Harakahdaily memetik beliau sebagai berkata.

"Saya nasihatkan agensi kerajaan ini jangan ambil adik saya walaupun berkelayakan, saya lakukan demikian untuk menjaga imej kerajaan negeri di samping ingin mengelak tuduhan-tuduhan macam ini daripada pihak yang tidak bertanggugjawab."

Artikel Husam tersebut tidak jelas merujuk perkembangan semasa politik Kelantan tetapi mengingatkan betapa "politik keluarga" boleh membawa kemusnahan kepada seseorang tokoh pemimpin.

Dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas naib presiden PAS itu menyeru agar wujud pemisahan jelas dua bidang tersebut.

Bagaimanapun tegurannya - yang turut menyebut PAS era kepemimpinan bekas presidennya Tan Sri Mohd Asri Muda pernah menerima jolokan negatif sebagai "parti Asri sekeluarga" - membuka pelbagai spekulasi. Kebanyakan blog pro-PAS menganggap artikel tersebut sebagai mengulas politik semasa di Kelantan susulan kontroversi berpanjangan kedudukan Abdul Ariffahmi Ab Rahman, menantu menteri besar yang menerajui PMBK.

Abdul Ariffahmi, yang juga exco Pemuda PAS Kelantan, akan berundur secara rasmi Mac tahun depan daripada syarikat berkaitan kerajaan itu.Media rasmi PAS itu turut melaporkan Husam menafikan beliau akan meletakkan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan termasuk sebagai ADUN Salor.

Tidak ada sebab beliau harus berbuat demikian padahal pada masa yang sama beliau lebih menumpukan pada tuntutan royalti petroleum daripada kerajaan pusat, tambahnya.

"Lainlah kalau sudah dapat royalti besok, tuan-tuan buat khabar angin macam tu," beliau dipetik berkata, sambil ketawa.

Katanya lagi, akibat khabar angin seumpama itulah beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap blog dan beberapa akhbar harian.

Wednesday, December 30, 2009

Apabila Husam bersuara..



Malaysia atau diri

28hb Disember 2009

Malaysia mungkin dikenakan sanction atas penjualan enjin pesawat secara gelap. Kesan kepada ekonomi dan negara kita secara keseluruhan tentu amat besar. Kenyataan Balasubraniam yang tersebar menerusi internet mengenai isu PM-Altantuya, amat menjejaskan dan belum nampak formula mengatasinya. Imej Kerajaan kita terjejas teruk. PKFZ dan lubang hitam terbesar yang ditinggalkannya tak mungkin dapat ditutup dalam tempoh dekat. Hampir tumbangnya kerajaan pimpinan Najib gara-gara MP BN tuang sidang Parlimen semasa undian, tentulah menggerikan penyokong BN.

Lebih menakutkan kekurangan solid vote untuk Najib itu memang direstui oleh MP BN itu sendiri kerana dah malas.Di peringkat antarabangsa, kita nampaknya belum mencapai standing terhormat seperti dulu.

Kerajaan seakan nampak tidak solid. Isu BTN sahaja, pimpinan utama berbelah bagi. Enjin jet, seakan terbahagi dua antara ingin mendedahkan dan ingin mendiamkan. PM mungkin mengikuti jejak Pak Lah. Lebih banyak berdiam dari memberikan respon segera.

PM seakan terpisah dari realiti. Beliau lebih memberi fokus terhadap agenda yang hendak ditonjolkan yang dirangka oleh penasihat strategik beliau dan pasif terhadap isu sebenar yang berbangkit saban hari. Beliau articulative ketika membincangkan agenda utopia rangkaan kumpulan penasihat dan seakan membiarkan isu sebenar bergerak sendiri.

Dalam setengah hal, kita mengulangi keadaan seakan kerajaan dipandu secara auto pilot dalam urusan seharian kerana pimpinan sibuk menyiapkan gagasan utopia untuk dijadikan gula-gula.

Banyak keadaan terkunci pada mode lama, termasuk SOP urusan diplomatik dan luar negara.

Belum dibincangkan susunan parti-parti komponen. Keadaan nampaknya kritikal.

Peluang untuk rencana perubahan mengambil tempat lebih kukuh terbuka luas. Asal pemain-pemain agenda perubahan tidak pula terperangkap dengan isu dalaman yang tidak mustahak. Kemucut-kemucut sekalipun, jika tidak diurus, boleh menghilangkan fokus dan menjadi kulit pisang yang licin dan membahayakan.

Konsep berkerajaan yang baik ialah pengasingan antara family matters dan state matters. Bukan sahaja legally, tetapi juga morally.

PAS - satu masa dulu pernah digelar Parti Asri Sekeluarga - kerana pemegang beberapa jawatan tinggi ada kaitan keluarga dengan Presiden PAS waktu itu, Datuk Asri. Serangan sedemikian ketika PAS berdepan dengan krisis politik pada waktu itu, merugikan PAS dan menjadi modal lawan yang berkesan sekali.

Antara isu yang sukar ditepis oleh Dr. Mahathir ialah penglibatan anak-anaknya dalam perniagaan. Isu bail out syarikat kapal Mirzan oleh Petronas kekal dibangkitkan sampai ke hari ini. Anaknya yang lain, Mokhzani akhirnya membuat pengumuman berundur dari dunia korporat apabila menjadi sasaran serangan dan digunakan sebagai bukti amalan kronisma Mahathir sekitar awal 1990an.

Abdullah Badawi sangat popular sebelum isu anak dan menantunya muncul dalam kehidupan politik beliau. Beliau berjaya membawa UMNO/BN menang paling besar dalam sejarah politik negara pada tahun 2004.

Selepas riak dan alpa dengan kemenangan besar itulah, isu penglibatan perniagaan syarikat anaknya, Scomi mula menikam politik beliau. Ditambah dengan penglibatan ekonomi dan politik KJ, Abdullah akhirnya kecundang dalam masa yang sangat singkat.

Anak dan menantu atau keluarganya, gagal mempertahankan beliau. KJ telah berkhidmat secara langsung dengan Pak Lah melalui jawatan di Tingkat Empat, yang tak lama kemudian ditentang hebat termasuk oleh ahli UMNO sendiri.

KJ kemudian memperolehi saham ECM Libra, yang menjadi isu hangat.

Sekalipun KJ melepaskan jawatannya di Tingkat Empat dan menjual sahamnya dalam ECM Libra, namun Pak Lah terus dikaitkan dengan KJ dan anaknya Kamaludin dalam banyak perkara.

KJ berada di belakang semua keputusan Pak Lah - dalam minda hampir semua orang.Namun, politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar tahun 2004 tidak berulang. Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihanraya 2008.

Dihimpit antara kritikalnya kedudukan negara dan sedikit sebanyak gangguan dalaman yang wujud, peliharalah integriti pemimpin-pemimpin kita dengan anggota keluarga tidak merasa diri mereka adalah stake holder yang lebih penting dari pihak yang dipilih oleh rakyat secara yang sah.

Dilihat dari sirah Rasulullah, ada keadaan-keadaan di mana anggota keluarga memberikan pandangan atau diminta pandangan dalam pelbagai isu. Namun, keputusan akhir adalah di tangan Rasulullah s.a.w dan isu-isu itu pula bukan berbentuk monetary gain atau percaturan politik keluarga tetapi lebih kepada public interest.

A'isyah memberi pendapat kepada suami baginda bahawa ayahandanya Abu Bakar seorang yang penghiba dan tidak perlu dilantik menggantikan Rasulullah sebagai imam solat yang dikira penting. Rasulullah s.a.w meneruskan hasrat baginda. A'isyah memberikan pandangan itu atas kepentingan awam dan bukan untuk kepentingan dirinya sendiri.

Salah seorang isteri Rasulullah memberikan idea Rasulullah mesti memulakan tahalullul sebagai penyelesaian terhadap keengganan sesetengah sahabat menerima terma perjanjian Hudaibiyyah dan idea ini diterima dan berjaya.

Namun, sampai kepada isu monetary gain, rule of law dan isu governance yang lain, Rasulullah mengambil sikap menjunjung prinsip pemisahan itu mengatasi hubungan kekeluargaan. Baginda sampai berkata, kalau anaknya sendiri didapai melakukan jenayah, hukuman sepatutnya akan dikenakan dan ia akan dilakukukan oleh baginda sendiri.

Batas inilah yang perlu dipelihara ketika madsyarakat sedang tertunggukan kebangkitan yang solid tanpa kecelaruan sedangkan kecelaruan tersebut boleh dielakkan.

Friday, December 18, 2009

Salam Maal Hijrah 1431H


Thursday, December 10, 2009

Doa bala Tok Guru: Analisis


Hari ini aku terbaca satu artikel menarik mengenai isu yang paling hangat kini diperkatakan, dibincangkan dan ditimbulkan oleh pelbagai pihak dalam tanahair iaitu berkaitan 'doa Tok Guru'.


Tulisan ini disiarkan di dalam Sinar Harian (kalau Edisi Selangor, sila lihat mukasurat N16 Cetusan@Sinar). Walaupun aku belum pernah mendengar nama penulis ini, tetapi kandungannya jelas tidak mengulas apa yang dipaparkan di media tempatan yang menjadi rujukan sesetengah pihak dan terus menghentam.


Beliau lebih menekankan soal dari segi aspek punca kenapa perkara ini mula ditimbulkan dan diulas berlandaskan Al-Quran dan as-Sunnah (memandangkan beliau seorang hafiz dan pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran Pusat Bahasa UIAM).


Hanya sebahagian sahaja disiarkan, selebihnya.. Beli sendiri!!

_________________________________________

Sinar Harian

Edisi Selangor - N16 Cetusan@Sinar


Analisis doa bala Nik Aziz sebelum jatuh hukum


Oleh - Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz


Polemik doa bala Datuk Nik Aziz kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib masih hangat diperkatakan, sama ada pihak yang menyokong atau menentang. Namun, sebelum sebarang hukuman dijatuhkan ke atas tindakan Nik Aziz, polemik ini terlebih dahulu perlu dianalisis secara ilmiah menurut neraca al-Quran dan al-Sunnah.


Analisis ini amat penting demi untuk menyelamatkan masyarakat awam bawahan yang tampaknya sedang kebingu-ngan di celah permainan ahli politik.


Secara umumnya berdoa buruk kepada orang lain adalah ditegah oleh baginda Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya: Jangan berdoa buruk ke atas diri kamu sendiri, anak-anak kamu, khadam kamu dan harta-benda kamu kerana ditakuti bertembung dengan waktu penerimaan doa, (maksud buruk itu) maka akan diperkenankan oleh Allah. (Sahih Muslim & Sunan Abu Dawud).


Namun begitu, dalam keghairahan menyalahkan Nik Aziz, kebanyakan daripada kita seolah-olah terlupa pula sudut lain yang menjadi punca tercetusnya isu ini. Oleh itu untuk berlaku lebih adil dan ilmiah kepada semua pihak, sebarang keputusan perlu mengambil kira aspek punca sesuatu isu.


Bagi memahami isu ini dalam skop lebih luas dan praktikal, kita perlu melihat kepada contoh sudah sekian lama berlaku di dunia, iaitu kempen anti kega-nasan dilancarkan Amerika Syarikat. Walaupun sudah bertahun kempen tersebut dijalankan dengan beberapa pendekatan ekstrem seperti penaklukan Afghanistan, Iraq dan penahanan ramai tokoh yang dicop sebagai pengganas, angka keganasan tidak pernah berkurang. -


Dapatkan artikel penuh di Sinar Harian hari ini.

Monday, December 7, 2009

Sunday, December 6, 2009

Thinking Aloud: Demi kuasa Umno akan mengenepikan siapa sahaja

http://tilianker.blogspot.com/

Ti Lian Ker (Thinking Aloud)


Ingin saya menekankan di sini bahawasanya blog ini adalah dengan niat untuk mencari kebenaran dan titik pertemuan berlandaskan fakta demi kepentingan kita bersama. Sebarang kritikan dan pendapat berbeza adalah digalakkan demi untuk memupuk budaya politik yang positif di mana tiada mana-mana pihak adalah sempurna tanpa cacat-cela.

Kesanggupan kita menerima kritikan; mengaku kelemahan dan menegakkan kebenaran akan menarik lebih ramai sokongan dari kalangan rakyat yang semakin kehausan politik yang menegakkan kebenaran demi kepentingan semua dan negara.

Suasana tenang dan perbincangan adalah penting untuk menyelamatkan situasi politik kita yang semakin cenderung pada ketidak-benaran dan pusingan atau 'spinning' penyokong pembangkang mahupun pemerintah akan membinasakan negara dan bangsa.

Pernah pada satu ketika dahulunya bila MCA dipulau oleh pengundi Cina, seorang tokoh Umno telah mencabar Mca untuk keluar dari Perikatan oleh kerana MCA tidaklah mewakili masyarakt Cina dan mempunyai masalah percakaran dalaman.

Walaupun insiden itu berlaku beberapa dekad dahulu,namun Mca terus dilandai kemelut percakaran politik dalaman di mana MCA menghadapi krisis dalaman politik pada setiap tempuh satu dekad atau kurangnya. Bermula dengan Tun Lim Chong Yu dengan Tun Tan Siew Sin; Tan Sri Lee Siok Yew, Tan Sri Lee San Choon, Datuk Richard Ho, Datuk Michael Chen, Neo Yee Pan/Tan Khoon Swan; Ling Liong Sik/Lee Kim Sai; Ling Liong Sik/Lim Ah Lek masing-masing berpasangan dengan anak didik mereka Ong Ka Ting/Chan Kong Choy dan akhir-akhir ini Ong Tee Keat berpasangan dengan Liow Tiong Lai vs Chua Soi Lek dan setelah Oktober 10hb berubah kepada Ong Tee Keat berpasangan dengan Chua Soi Lek vs Liow Tiong Lai.

Inilah sumpah nenek-moyang MCA ke atas politik Cina di Tanahair Melayu yang bermula dengan pergaduhan kongsi-kongsi gelap sejak mereka bertapak di sini. Pergaduhan Ghee Sin dan Hai San adalah satu-satu gejala dan corak perilaku masyarakat Cina yang terlalu mementingkan diri dan kepentingan jangka masa-pendek sehinggakan kebanyakkan keputusan mereka adalah berlandaskan kepentingan jangkamasa pendek dan mikro interest berbanding dengan kepentingan jangka masa panjang dan macro interest.

Ancaman mengeluarkan MCA dari Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional kerap-kali dibisik sebagai satu taktik Umno untuk menunjukkan kuasa, pengaruh dan kekuatan politik sebenar dan 'flexing of political muscles' pernah dibuat oleh tokoh-tokoh Umno mahupun Pemuda Umno untuk memaksa atau 'bulldoze' kehendak politik atau 'political will' mereka.

Ini adalah 'real politics in action' yang berlandaskan expediency dan kesesuaian tuntutan politik semasa pabila Umno kurang senang atau kurang sabar dengan MCA yang menjadi penghalang atau pembantut agenda atau laluan politik.Kebelakangan ini ada ura-ura Umno mencari saluran baru untuk mendekati dan memancing undi secara langsung dari pengundi-pengundi Cina dan India.

Kononya Umno kurang senang dengan ketidakupayaan MCA dan MIC mengembalikan longgokan undi Cina dan India kepada BN yang menghadapi kekalahan demi kekalahan berseri dalam pilihan kecil kebelakangan ini.
.
Ada di kalangan pemimpin Umno tidak setuju apabila Umno dipersalahkan sebagai satu sebab utama undi-undi Cina dan India yang setia pada BN meninggalkan BN. 'Keangkuhan dan penyalahgunaan kuasa' Umno/BN dipersalahkan dan tuntutan dibuat supaya Umno/BN membuat perubahan untuk melegakan dan mengurangkan bahang anti-BN yang memberi penumpuan dan sasaran pada UMNO sebagai tunggak BN.

Ketidak senangan Umno terhadap kritikan inilah yang menyebabkan ada dikalangan tokoh-tokoh UMNO bercadang bertindak-balas dengan mengatur strateji dan pendekatan baru untuk menggembalikan undi pada BN. Ada juga ura untuk berurusan secara langsung dengan pertubuhan-pertubuhan NGO Cina dan India tanpa melalui dan menghurmati tradisi politik MCA dan MIC.

Ada juga ura-ura berkerjasama dengan PAS dan mengenepikan MCA dan MIC secara total kiranya pengundi Cina dan India tetap degil.

Namun pendekatan politik ini tidaklah sehat bagi imej negara di mata antarabangsa dan membawa padah perkembangan politik jangkamasa panjang dalam negara.

Umno telah memberi perhatian kepada mana-mana pertubuhan politik dan seakan-akan merestui Makkal Sakti dan IPPF yang merupakan pecahan dari MIC. PPP juga diberi kedudukan dan nafas baru apabila President Kayveas dilantik sebagai Senator dan Timbalan Menteri dalam era Tun Mahathir seakan-akan untuk menjadi imbangan/tambahan kuasa dan pengaruh MIC. Pada masa itu PPP dalam keadaan hidup segan mati tak mahu dengan masalah dalaman parti dan menghadapi masalah dengan Pendaftar Pertubuhan.

Imbangan/tambahan kuasa/pengaruh MCA adalah dalam bentuk GERAKAN di mana Tun Mahathir pernah mengatakan bahawasanya UMNO akan tetap mendokong GERAKAN untuk menerajui negeri Pulau Pinang walaupun GERAKAN tinggal dengan satu kerusi sahaja. Kenyataan ini dikatakan pada saat-saat kegentingan percaturan pengaruh MCA dan GERAKAN apabila Adun-Adun GERAKAN berpindah kepada MCA dan pasaran politik MCA semakin menaik dan arus GERAKAN sedang menurun.

Ura-ura terakhir UMNO ialah dengan memperkudakan NGO-NGO masyarakat Tionghua seperti Hua Zhong (Gabungan-gabungan Persatuan Tionghua), 7 Da Xiang Duan, ACCIM etc untuk mendapatkan kembali sokongan pengundi Cina kepada BN di pilihanraya umum akan datang.

Saya ingin memberi nasihat bahawasanya pendekatan ini akan menemui jalan buntu dan tidaklah berbaloi. Besar kemungkinan permainan politik ini akan dibalas dengan undi-undi protes terhadap percubaan memperkudakan NGO-NGO Tionghua yang rata-rata 'apolitical' dan tidak digalakkan terlibat dengan parti politik secara langsung.

Sekiranya pemimpin-pemimpin NGO dilihat seakan-akan menggadaikan maruah pertubuhan kepada BN, ahli-ahli dan penggundi Cina akan menunjukkan protes mereka dalam peti undi secara membisu. Masyarakat Cina mengharapkan NGO-NGO Tionghua terus memainkan peranan mereka sebagai 'watch-dog' dan 'pressure-group' ke atas mana-mana pihak berkuasa.

Kiranya ada pemimpin NGO Cina yang terlalu rapat dan seakan-akan mempunyai kepentingan diri dengan membantu politik BN, maka ada padahnya menanti...

Sentimen inilah yang menjadikan MCA senantiasa menghadapi cabaran dan permasalahan untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina secara 'consistent' di mana trend dan teori politik 'pendulum' adalah satu perilaku 'political psche' masayrakat Cina yang kurang percaya dan tidak percaya kepada kekuatan yang membawa kuasa mutlak pada pihak berkuasa.

Masyarakat Cina dengan pengalaman dan sejarah lama mereka tahu kuasa mutlak membawa kepada salahguna kuasa dan tekanan pada rakyat kebanyakkan. Apabila ini berlaku amalan rasuah akan mula berleluasa di mana rakyat akan menjadi mangsa utama.

Disatu pihak lagi NGO-NGO Tionghua bukanlah pertubuhan politik dan mereka mempunyai budaya kesetiaan politik yang agak cetik dan mempunyai arus timbul-tenggelam. Kesetiaan politik mereka adalah satu permasalahan dan keupayaan kepimpinan mereka merupakan satu pertanyaan.

Dalam era Ong Ka Ting/Chan Kong Choy ,MCA telah menguasai tunggak-tunggak politik Cina seperti kongsi-gelap,tokoh-tokoh politico-business, media vernacular Cina dan NGO-NGO Cina dengan rapat dan intim sekali...NAMUN calon-calon MCA tenggelam dilandai arus tsunami politik yang membawa malang tidak berbau dalam PRU12.

Ini telah menunjukkan MCA mahupun NGO-NGO Cina tidak dapat menguasai pemikiran penggundi Cina lebih-lebih lagi generasi muda yang semakin global dan kritikal pemdekatan politik mereka. Tuntutan politik mereka berlandaskan nilai-nilai politik dan falsafah serta hala-tuju politik yang membawa menafaat jangka-panjang pada mereka dan negara.

Golongan baru ini bukan lagi 'Chinaman' dan mereka mempunyai minda kritikal dan analytical yang memberi mereka keyakinan dan keupayaan mempengaruhi corak pengundian masa akan datang bukan saja pada diri tetapi juga pada keluarga dan saudara mara.

Akhirkata, saya berharap rencana saya yang pendek ini dapat memberi sedikit gambaran politik sebenar di pasaran dengan harapan pemimpin-pemimpin kita dapat membuat ketetapan dan keputusan politik yang jitu dan benar demi masa depan bangsa dan negara kita Malaysia!