Wednesday, October 29, 2008

Penampilan baru Skuad Kelantan musim depan

sinar harian
Edisi Kelantan - Ruangan Sukan [29hb Oktober 2008]

Indra Putra sahkan sertai Kelantan

KOTA BHARU – Teka-teki pemain bertaraf bintang yang dijangka menyarung jersi Kelantan pada musim depan, akhirnya terjawab semalam apabila pemain tengah kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin diumumkan menyertai skuad kijang.

Berita yang menggembirakan penyokong dan peminat bola sepak Kelantan itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri Kafa di Wisma Kafa, Kampung Chicha di sini.

Malah kehadiran pemain tengah yang cukup berkaliber itu selepas menandatangani kontrak sebelum berlangsungnya Pesta Bola Merdeka bakal menguatkan bahagian tengah pasukan Kelantan yang ingin melakukan kejayaan lebih baik musim depan.

Annuar berkata, seorang lagi pemain tengah yang turut bersama Kelantan musim depan adalah bekas pemain Sabah, Nafuzi Mohd. Zain bagi menguatkan jentera bahagian tengah dan melengkapkan skuad Kelantan.

Katanya, empat pemain Piala Belia musim lalu termasuk Tuan Mohd. Norhafizie Tuan Mahmood, Zamri Ramli dan Akmal turut diserapkan dalam pasukan Liga Perdana Kelantan.

“Kita hanya mencari seorang penjaga gol lagi bagi memenuhi kuota yang disediakan dan mengharapkan keja-yaan lebih baik tahun depan.

“Gandingan mantap Indra, Khalid Jamlus yang kini masih menjalani sesi fisioterapi di Majlis Sukan Negara, Ahmad Azlan Zainal, Daudsu Jamaludin, Nor Farhan Mohamad dan Che Hisyamuddin Hassan bakal membawa cabaran Kelantan,’’ katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sidang DUN Kelantan: Status hutang kerajaan negeri

HarakahDaily.Net
Kelantan bayar RM220 juta hutang peninggalan kerajaan BN
Lanjusoh Wed Oct 29, 08 1:13:22 pm MYT

KOTA BHARU, 29 Okt (Hrkh) - Apakah kayu ukur untuk menggambarkan keupayaan ulama mentadbir sesebuah negeri. Antaranya boleh dilihat di Kelantan apabila kerajaan negeri tetap utuh di bawah PAS sejak 18 tahun lalu, biar pun sumber kewangannya terhad.

Setiap tahun bajet yang dibentang tidak besar berbanding negeri-negeri lain. Misalnya anggaran hasil tahun hadapan sebanyak RM339.98 juta, berbanding perbelanjaan mengurus RM360.26 juta.

Sedangkan negeri lain misalnya Selangor bajet 2009 melebihi RM1 bilion.

Namun, lebih menarik lagi apabila jumlah hutang yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga kini sebanyak RM220.26 juta telah dibayar kerajaan PAS.

Berdasarkan kepada jumlah tersebut RM57.46 juta adalah kadar faedah (bunga) yang dikenakan, manakala jumlah pokok hutang yang dibayar sebanyak RM162.8 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat, Dato' Husam Musa berkata, jumlah hutang yang ditinggalkan kerajaan BN ketika PAS mula-mula mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri sebanyak RM718 juta.

Katanya, setiap tahun kira-kira RM11 juta dibayar kepada kerajaan pusat, menjadi jumlah yang dibayar sehingga sekarang sebanyak RM220 juta.

"Jumlah hutang tersebut tidak termasuk pinjaman baru yang diluluskan bagi projek bekalan air bersih di negeri ini sebanyak RM371 juta," katanya ketika menjawab soalan Dato' Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubur) pada persidangan Dun hari ini.

Menurutnya juga jumlah hutang tersebut meliputi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Perbadanan Stadium dan pihak berkuasa tempatan, keseluruhannya sebanyak RM572 juta.

Dan jumlah itu sekarang sudah berkurangan kepada RM268 juta.

Manakala bagi projek perumahan awam kos rendah (PAKR) masih berbaki sebanyak RM70.5 juta berbanding pada 1990 sebanyak RM72 juta.

Husam berkata, hutang bagi projek projek PAKR pada 1999 menurun kepada RM69 juta, namun sekarang meningkat kepada RM70.5 juta apabila dicampur kadar bunga yang dikenakan.
Katanya, jumlah hutang masih tinggi disebabkan keengganan pemiliknya menjelaskan sewa yang sepatutnya dibayar setiap bulan.

Menjawab soalan tambahan Ustaz Mohamad Mustafa (PAS-Demit) katanya, kaedah lama iaitu mengenakan faedah masih digunapakai kerajaan pusat terhadap hutang kepada kerajaan-kerajaan negeri.

"Pada mesyuarat Majlis Kewangan Negara sebelum ini saya sudah membangkitkan supaya kadar faedah dihapuskan. Saya kira Perdana Menteri yang ada sekarang masih mempunyai kuasa melaksananya sebelum Mac depan.

"Perdana Menteri perlu melaksanakan segera sebelum Perdana Menteri yang sedang menunggu mengambil alih tempatnya," kata beliau.

Beliau juga berharap Dato' Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri mempengaruhi Dato' Seri Abdullah supaya dihapus kadar faedah pinjaman yang dikenakan.

Ir. Nizar bakal tunai haji tahun ini

sinar harian
Berita Am - 29hb Oktober 2008

MB Perak dapat kelulusan tunai haji

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah mendapat kelulusan khas untuk menunaikan haji pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Senarai rombongan jemaah haji seramai 22 orang yang dipohon Menteri Besar Perak telah diluluskan, katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Jamuan Aidilfitri anjuran Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Perak (MTPN) di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini.

Majlis itu dihadiri kira-kira 5,000 tetamu termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan ketua-ketua jabatan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MTPN berkata, beliau perlu memaklumkan mengenai perkara itu supaya masyarakat mengetahui bahawa perbezaan politik tidak menjadi masalah dalam hal ehwal agama.

“Walaupun berbeza politik tapi demi agama, saya beri kelulusan itu atas pertimbangan bahawa dalam hal ehwal agama kita tidak boleh asingkan berdasarkan kepada parti politik,” katanya.

Beliau berkata, rombongan berkenaan turut disertai isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Fatimah Taat, Setiausaha Politik Menteri Besar, Misbahul Munir Masduki dan Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub.

Penerbangan pertama membawa jemaah haji ke Tanah Suci akan berlepas Khamis ini.

Ahmad Zahid berkata, bakal haji yang berdaftar dengan Tabung Haji kini lebih 348,000 orang dan mereka yang mendaftar pada tahun ini hanya dijadualkan menunaikan haji pada tahun 2019 mengikut giliran pendaftaran.