Tuesday, June 9, 2009

Muktamar: Ucapan Husam

http://muktamar55.pas.org.my

Husam terbuka terima beza pendapat

Ditulis oleh Te@m I.T

SUNDAY, 07 JUNE 2009 07:01

SHAH ALAM, 7 Jun
- Dato’ Husam Musa di dalam ucapannya tadi mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baru yang dipilih oleh para perwakilan. Beliau mengajak seluruh ahli untuk menerima PAS secara keseluruhan dari aspek siasah, fikrah, uslub dan soal menang kalah.

Menyentuh tentang anggapan dan tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan ada pihak yang menggunakan parti bagi tujuan peribadi, beliau menganggap itu sebagai ungkapan yang kurang manis disebut.

Sambil menyatakan menerima dengan hati terbuka keputusan yang dibuat oleh perwakilan berhubung keputusan pucuk pimpinan parti semalam, beliau berjanji akan terus berjuang di dalam PAS.

Bersetuju dengan cadangan salah seorang perwakilan yang mahu badan disiplin parti diperkukuhkan, beliau yang memandang pentingnya menegakkan disiplin dalam parti menyarankan tindakan diambil kepada mereka yang melanggar disiplin yang ditetapkan bagi mewujudkan keadilan.

Muktamar: Perbahasan wakil bukan Islam

http://muktamar55.pas.org.my

Pimpinan PAS diseru supaya berhati-hati

Ditulis oleh Te@m I.T

SUNDAY, 07 JUNE 2009 05:08

SHAH ALAM, 7 Jun - Pimpinan PAS diseru supaya berhati-hati sama ada dari segi perbuatan mahupun percakapan serta mengambil kira sensitiviti yang merangkumi budaya, agama dan pantang larang agar tidak menjadi senjata UMNO untuk membunuh PAS.

Demikian ujar wakil Kelab Penyokong PAS, En.Vincent Lee ketika memberi ucapan penangguhan di Stadium Malawati sempena Muktamar PAS kali ke-55 hari ini.Beliau turut melahirkan rasa kebimbangan penyokong bukan Islam terutama Kelab Penyokong terhadap PAS atas rundingan sulit yang disebut-sebut antara pimpinan PAS dan UMNO.

Para pimpinan dan akar umbi diharapkan tidak melakukan sesuatu yang menjejaskan kepercayaan ahli dan diberi sokongan penuh untuk terus bergerak di atas landasan yang betul.

Kelab Penyokong PAS yang ditubuhkan pada tahun 2004 sempena Pilihanraya Umum ke-11 bertujuan untuk menggembleng tenaga bukan Islam bagi menjayakan misi PAS.

Slogan 'PAS for All' telah berjaya meyakinkan pengundi bukan Islam yang telah diterjemahkan dalam Pilihanraya Umum ke-12.

Turut diluahkan harapan supaya Kelab Penyokong PAS dinaikkan menjadi sayap parti dapat direalisasikan.

Dalam usaha untuk memperkasakan kelab, program orientasi untuk ahli kelab hendaklah dilaksanakan agar kefahaman yang lebih jelas mengenai perjuangan PAS dapat dikukuhkan.

PAS juga diharapkan dapat memperuntukkan dana untuk aktiviti kelab dan Lajnah Perpaduan Nasional.

Setiap aktiviti berupa majlis perjumpaan dan sebagainya hendaklah melibatkan semua kaum tanpa menunggu musim pilihanraya.Semua ahli dan pimpinan disaran untuk memastikan bahawa "PAS the only choice" bagi seluruh rakyat Malaysia.

Muktamar: Muslinat tolak kerjasama dengan Umno

http://muktamar55.pas.org.my/

Dewan Muslimat Tolak Sebarang Kerjasama Dengan Umno

Ditulis oleh Te@M.IT

SUNDAY, 07 JUNE 2009 04:53

SHAH ALAM, 7 Jun – “Kita perlu bersungguh-sungguh dalam memperkasakan parti dan berterusan bekerja kuat demi meyakinkan rakyat bahawa PAS mampu memimpin dengan telus dan mampan bersama Pakatan Rakyat,” demikian mukaddimah ucapan yang penuh kelembutan namun bernada tegas oleh YB Siti Zailah Yusof yang mewakili Dewan Muslimat PAS pada sesi ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-55 hari ini.

Beliau turut menyatakan pendirian Dewan Muslimat Pas yang menolak sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO mahupun BN.

Dewan Muslimat Pas yakin bahawa PAS mampu bergerak sendiri tanpa perlu sebarang bentuk gabungan dengan UMNO mahupun BN.

Ini adalah kerana gabungan dengan UMNO hanya sia-sia dan tidak akan mampu menyumbang ke arah kebaikan kepada mana-mana pihak.

Usaha memperkemaskan jalinan kerjasama dengan Pakatan Rakyat perlu dipertingkatkan melalui pelbagai cara proaktif dan berinisiatif bagi membantu rakyat di negeri Pakatan Rakyat terutamanya negeri yang diperintah oleh PAS mahupun negeri yang bakal ditawan.

Selain itu, beliau turut membangkitkan agar sesi pemilihan kepimpinan yang akan datang perlu diteliti agar pimpinan yang dipilih benar-benar mampu menghayati amanah kepimpinan berteraskan ilmu, iman dan takwa.

Di samping itu, beliau meminta agar lidah rasmi Pas iaitu Harakah dibenarkan untuk menyiarkan profail calon bagi mewujudkan situasi persaingan yang sihat di kalangan calon yang bertanding.

Dalam misi memperkasakan gerak kerja parti, perhatian dan fokus seadilnya wajar diberikan kepada muslimat dengan menggalakkan penglibatan para isteri bahkan semua ahli keluarga semaksima mungkin dalam menjayakan agenda parti.

Sebelum berakhirnya ucapan penangguhan tersebut, beliau juga mengajak agar sidang muktamirin menjaga perpaduan dan ukhuwwah di kalangan ahli serta meminta agar Jawatankuasa Disiplin Pas bersungguh-sungguh memainkan peranan demi menangkis tohmahan luar yang boleh menjejaskan nama baik parti.