Tuesday, June 9, 2009

Muktamar: Muslinat tolak kerjasama dengan Umno

http://muktamar55.pas.org.my/

Dewan Muslimat Tolak Sebarang Kerjasama Dengan Umno

Ditulis oleh Te@M.IT

SUNDAY, 07 JUNE 2009 04:53

SHAH ALAM, 7 Jun – “Kita perlu bersungguh-sungguh dalam memperkasakan parti dan berterusan bekerja kuat demi meyakinkan rakyat bahawa PAS mampu memimpin dengan telus dan mampan bersama Pakatan Rakyat,” demikian mukaddimah ucapan yang penuh kelembutan namun bernada tegas oleh YB Siti Zailah Yusof yang mewakili Dewan Muslimat PAS pada sesi ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-55 hari ini.

Beliau turut menyatakan pendirian Dewan Muslimat Pas yang menolak sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO mahupun BN.

Dewan Muslimat Pas yakin bahawa PAS mampu bergerak sendiri tanpa perlu sebarang bentuk gabungan dengan UMNO mahupun BN.

Ini adalah kerana gabungan dengan UMNO hanya sia-sia dan tidak akan mampu menyumbang ke arah kebaikan kepada mana-mana pihak.

Usaha memperkemaskan jalinan kerjasama dengan Pakatan Rakyat perlu dipertingkatkan melalui pelbagai cara proaktif dan berinisiatif bagi membantu rakyat di negeri Pakatan Rakyat terutamanya negeri yang diperintah oleh PAS mahupun negeri yang bakal ditawan.

Selain itu, beliau turut membangkitkan agar sesi pemilihan kepimpinan yang akan datang perlu diteliti agar pimpinan yang dipilih benar-benar mampu menghayati amanah kepimpinan berteraskan ilmu, iman dan takwa.

Di samping itu, beliau meminta agar lidah rasmi Pas iaitu Harakah dibenarkan untuk menyiarkan profail calon bagi mewujudkan situasi persaingan yang sihat di kalangan calon yang bertanding.

Dalam misi memperkasakan gerak kerja parti, perhatian dan fokus seadilnya wajar diberikan kepada muslimat dengan menggalakkan penglibatan para isteri bahkan semua ahli keluarga semaksima mungkin dalam menjayakan agenda parti.

Sebelum berakhirnya ucapan penangguhan tersebut, beliau juga mengajak agar sidang muktamirin menjaga perpaduan dan ukhuwwah di kalangan ahli serta meminta agar Jawatankuasa Disiplin Pas bersungguh-sungguh memainkan peranan demi menangkis tohmahan luar yang boleh menjejaskan nama baik parti.

No comments: