Tuesday, August 26, 2008

Berita dari Kuala Krai: 26hb Ogos 2008


Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Berita Daerah]


Semarak kemerdekaan melalui sukan

KUALA KRAI – Bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan ini, pelbagai acara diatur oleh pejabat Ahli Parlimen Kuala Krai dengan melibatkan penyertaan pelbagai peringkat umur.

Untuk itu, antara program yang telah berlangsung termasuklah perlawanan futsal jalanan yang diadakan dengan kerjasama Dewan Pemuda Pas Kuala Krai berlangsung dekat sini, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd. Hatta Md. Ramli, perlawanan futsal jalanan tersebut bertujuan memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan anak-anak muda daerah ini melalui cara hidup sihat.

“Program ini adalah salah satu sambutan sempena kemerdekaan negara yang ke-51 bagi peringkat Parlimen Kuala Krai.

“Melalui penganjuran acara berpasukan ini, kami harap dapat mewujudkan semangat kerjasama dalam pasukan. Semangat bersatu padu inilah yang ingin diterapkan dalam masyarakat hari ini, agar semua pihak bersatu menjayakan sesuatu ke arah kepentingan bersama.

“Selain itu juga, ia juga dapat menggalakkan cara hidup sihat dalam kalangan anak-anak muda melalui aktiviti riadah dan menjauhi kegiatan tidak berfaedah,” ujarnya kepada Sinar Harian selepas perasmian program berkenaan semalam.

Sementara itu, pengarah program kesukanan sempena kemerdekaan berkenaan, Rosli Jaffar berkata, sebanyak 24 pasukan dari seluruh parlimen telah menyertai perlawanan tersebut yang bermula sejak jam 9 pagi.

“Perlawanan yang dijalankan secara berperingkat ini adalah suatu simbolik, bagi golongan belia mengisi ruang kemerdekaan dengan kegiatan bermanfaat.

“Namun, kegiatan ini tidak hanya akan berakhir di sini dan bakal diteruskan dari semasa ke semasa untuk menggalakkan kecergasan dan kecerdasan para belia,” ujar Rosli. Katanya, sambutan yang diterima daripada pasukan futsal belia ini amat memberangsangkan dengan penyertaan di luar dugaan.

Dalam perlawanan tersebut, hadiah lumayan ditawarkan kepada juara, iaitu wang tunai sebanyak RM300. Tempat kedua pula membawa pulang RM200, manakala tempat ketiga pula berkongsi dua kedudukan dengan hadiah sebanyak RM100 setiap pasukan.

Hadiah utama tersebut telah dimenangi oleh pasukan KSD Club, manakala tempat kedua disandang pasukan Lembah Sentosa dan tempat ketiga pula diduduki oleh pasukan Pemuda Keadilan dan Pahi FC.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang.

No comments: