Tuesday, August 26, 2008

Permatang Pauh: Anwar lega


Sinar Harian
[Edisi Selangor & K. Lumpur - Selasa, 26hb Ogos 2008]


Isu sumpah Saiful jadi bahan kempen terakhir Permatang Pauh

PERMATANG PAUH - Datuk Seri Anwar Ibrahim berasa lega dengan penjelasan yang dibuat oleh Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi berhubung sumpahan laknat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 15 Ogos lalu.

Menurut Anwar, penjelasan imam itu juga membuktikan bahawa tuduhan liwat terhadapnya merupakan tuduhan jahat yang dibuat oleh pihak tertentu dalam usaha menjatuhkan maruah dan kredibilitinya sebagai seorang ahli politik.

“Selepas laporan doktor Pusrawi dan beberapa pengakuan lain dikeluarkan, kini timbul pula pengakuan daripada imam tersebut yang jelas menunjukkan ianya satu konspirasi untuk menjatuhkan saya," kata calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ram­lang yang membuat penjelasan di beberapa ceramah anjuran PKR dengan menyatakan sumpah Mohd Saiful tidak sah mengikut undang-undang Islam dan semuanya telah diatur oleh pegawai pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Dalam kenyataannya, Ramlang juga memberitahu bahawa beliau yang kebetulan berada di masjid berkenaan pada hari tersebut telah ‘diarahkan’ oleh pegawai atasannya menjadi saksi kepada sumpah mubahalah yang dibuat oleh Mohd Saiful.

Menurut Ramlang, sumpah Saiful diatur oleh pegawai yang juga menyiapkan skrip sumpah tersebut.“Saya juga bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Ramlang yang diarahkan pegawai atasannya menjadi saksi kepada sumpah yang dibuat Saiful walaupun sebenarnya dia sendiri tidak mengetahui maksud sebenar sumpah tersebut dilakukan," kata Anwar kepada pemberita di sini, semalam.

Menurut Anwar, pertuduhan (liwat) tersebut juga menggambarkan kerajaan berada di dalam keadaan terdesak untuk memastikan beliau tidak berada di Parlimen dan kerajaan juga risau dengan apa yang bakal berlaku.

“Saya rasa Ramlang juga seorang yang patuh kepada hukum syarak dan tidak terpengaruh dengan wang ringgit selain mahu menceritakan perkara yang sebenarnya berlaku pada hari tersebut," ujarnya.

Beliau juga menegaskan dengan penjelasan imam tersebut, sedikit-sebanyak ia memberi kesan kepada pengundi di kawasan Permatang Pauh walaupun kebanyakannya memang sudah tidak mempercayai apa yang dilakukan oleh Saiful.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesediaannya untuk bersumpah pada saat-saat akhir kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan berakhir jam 12 tengah malam semalam, Anwar menjelaskan beliau tidak akan berbuat demikian kerana ramai ulama telah memberi hujah bahawa sumpah itu tidak perlu.

“Agama bukan senjata politik, sesiapa sahaja boleh bersumpah kerana mereka sebenarnya tidak tahu bahawa sumpah itu adalah perkara yang besar di dalam agama. Disebabkan kepentingan politik, mereka bersumpah untuk mengaburi mata orang ramai," katanya.

Tambahnya, beliau mahu perkara tersebut (tuduhan liwat) dibuktikan di dalam mahkamah dan pada masa itu semua orang boleh mengetahui kebenarannya.

1 comment:

murshidism said...

jange jadi sesumpah dah la...!