Thursday, August 28, 2008

Berita dari Kuala Krai: 28hb Ogos 2008


Sinar Harian
[Berita Daerah - Edisi Kelantan]


Sumbangan Ihya Ramadan untuk surau, madrasah DUN Mengkebang

SUNGAI DURIAN – Sebanyak 31 cawangan Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkebang menerima sumbangan wang tunai sempena kehadiran Ramadan yang bakal menjelma minggu hadapan diadakan di pekarangan Pejabat DUN Mengkebang dekat sini, semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman, sumbangan tersebut adalah khusus untuk surau dan madrasah sebagai persediaan awal menyambut Ramadan.

Katanya, sumbangan tersebut diagihkan kepada imam dan wakil surau atau madrasah di DUN Mengkebang sebagai persiapan Ihya Ramadan sebagaimana kelaziman aktiviti sempena kedatangan Ramadan setiap tahun.

“Sebanyak 31 cawangan menerima sumbangan wang tunai khusus untuk persediaan mengadakan majlis berbuka puasa bagi penduduk sekitar.

“Ia juga adalah tanda kesyukuran kita dapat lagi bertemu Ramadan kali ini. Bukan semua orang ditakdirkan menjalani ibadat puasa kali ini dan seharusnya kita melipatgandakan amalan,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian selepas pembahagian sumbangan berkenaan di pejabatnya semalam.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar mengubah tabiat negatif mereka sempena Ramadan ini dan berubah ke arah yang lebih baik.

“Saya harap penduduk Kuala Krai dapat memanfaatkan kedatangan Ramadan kali ini dengan memperbanyakkan amalan yang tidak didapati pada bulan lain.

“Elakkan juga sikap membazir ketika Ramadan dan hanya membeli keperluan sahaja untuk berbuka puasa. Kita perlu bersyukur kerana berada di dalam negeri yang aman dan dilimpahi nikmat rezeki melimpah ruah sedang banyak negara luar dalam keadaan peperangan dan kekurangan bekalan makanan," ujarnya.

Selain itu, katanya, umat Islam wajib bersyukur di atas segala nikmat ini dan tidak berbelanja berlebihan atau membazir ketika Ramadan.

Katanya, Ramadan adalah bulan yang baik untuk menjaga kesihatan dan berjimat cermat sebaliknya bukan bulan untuk makan dengan sesuka hati dan melibatkan pembaziran. Amalan membaca Al-Quran dan bertarawih perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya agar seluruh umat Islam mendapat keberkatan untuk masa hadapan.

Dalam majlis yang sama juga, lima wasi atau pewaris menerima sumbangan takaful Kifaalah di atas kehilangan ahli keluarga mereka.

No comments: