Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Berita Muka Depan]
28hb Ogos 2008 (Khamis)
Cara BN kempen silap - Nik Aziz
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan strategi kempen Barisan Nasional (BN) yang lemah semasa pilihan raya kecil di Permatang Pauh memberi kelebihan dan kemenangan mudah kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), selain kes tuduhan liwat dan isu sumpah laknat.
Nik Abdul Aziz berkata, kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan yang memperoleh 15,671 majoriti undi mengukuhkan lagi kedudukan parti di bawah Pakatan Rakyat (PR).
Jelas beliau, kempen memburukkan Anwar dengan cara sebegitu menyebabkan rakyat terus membenci BN sehingga memberikan undi yang begitu besar kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
“Sedangkan (kes) liwat tak tentu lagi (Anwar bersalah atau tidak), ceramah UMNO terus memburukkan Anwar dan bagi saya ceramah mereka (UMNO) itu sebenarnya tidak ada air muka malah tak ada kulit pun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Tanaman Pokok Jatropha (pokok jarak) di sini, semalam.
Pada pilihan raya kecil itu, Anwar menewaskan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon AKIM, Hanafi Mamat dengan majoriti 15,671 undi.Anwar memperoleh 31,195 undi, Arif Shah 15,524 undi dan Hanafi 92 undi.
Mengulas kemenangan Anwar itu lagi, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kemenangan itu sudah semestinya memberikan perangsang dan kekuatan kepada PR.
“Sudah semestinya ini memberikan kekuatan kepada pembangkang untuk merencanakan strategi selepas ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai dakwaan Anwar akan berlaku pertukaran Kerajaan Persekutuan yang diuar-uarkan pada 16 September depan, Nik Aziz berkata, berlaku atau tidak pada tarikh itu ia adalah soal teknikal semata-mata tetapi apa yang lebih penting adalah untuk menukar kerajaan sedia ada kepada PR.
“Itu masalah teknikal sahaja (benar atau tidak) tetapi apa yang kita mahukan untuk menukar UMNO (BN) dengan parti lain,” katanya.
Nik Aziz mendakwa kerajaan BN sudah tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat dan mahukan sebuah kerajaan lain yang boleh memberikan kesejahteraan kepada mereka.
No comments:
Post a Comment