Thursday, August 21, 2008

Ar-Rahn: Pemajak dibayar September ini

sinar harian
[Edisi Kelantan - Khamis, 21hb Ogos 2008]


Bayaran kira-kira RM20 juta diagih kepada pemajak gadai September ini

KOTA BHARU – Berita baik untuk pelanggan pajak gadai Islam Ar-Rahn yang dirompak 9 Ogos lalu kerana bayaran ganti rugi 100 peratus akan diagihkan kepada pemajak mulai September ini yang membabitkan kira-kira RM20 juta.

Langkah pembayaran itu dibuat 100 peratus hasil permintaan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri kerana sepatutnya Permodalan Kelantan Berhad (PKB) hanya menjelaskan bayaran 75 peratus daripada nilai barangan yang digadai.

Pengerusi Jawatankuasa Peran-cangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, bayaran itu akan dilakukan selama tiga bulan mulai September ini dan pelanggan yang berurus niaga awal dengan Ar-Rahn akan dibayar terlebih dahulu.

“Bayaran akan dibuat berdasarkan tarikh pelanggan berurus niaga dengan pajak gadai berkenaan, keutamaan akan diberikan kepada pemajak yang awal.

“Bayaran yang dibuat diperoleh daripada tuntutan insurans dan dana Ar-Rahn sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco mingguan di sini, semalam.

Pada 11 Ogos lalu, Pengarah Eksekutif PKB, Wan Yahya Wan Salleh memberi jaminan akan membayar balik kerugian yang dialami semua pelanggannya berikutan kejadian rompakan di premis KB 1, Jalan Tok Hakim di sini, yang membabitkan kerugian RM19.9 juta pada 9 Ogos lalu lalu.

Dalam kejadian itu, bilik kebal premis pajak gadai berkenaan dipecah masuk empat lelaki bertopeng sebelum melarikan sebahagian besar emas yang disimpan di premis itu.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 12.09 awal pagi tarikh berkenaan dan hanya disedari pada jam 3 pagi, 10 Ogos selepas ibu pejabat syarikat pembekal sistem penggera keselamatan di Kuala Lumpur mendapati sistem di premis berkenaan tidak berfungsi.

Ia hanya disedari pengurus pajak gadai berkenaan selepas dihubungi syarikat pembekal sistem penggera keselamatan tersebut yang kemudiannya terus ke premis pajak gadai itu.

Sementara itu, Husam berkata, Rang Undang-undang Identifikasi DNA 2008 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu disifatkan tidak kena dengan waktu dan suasana politik sekarang.

Menurutnya, ia lebih kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kenapa baru sekarang ia dibentangkan sedangkan cadangan berhubung perkara itu dibuat sejak tujuh tahun lalu.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak supaya tidak mempolitikkan rang undang-undang itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat sehari sebelum itu.

Sambil menolak tanggapan kononnya rang undang-undang itu ada kaitan dengan kes liwat yang dihadapi Anwar beliau dilaporkan berkata, hal yang berkaitan dengan DNA dan akta itu sudah lama hendak dibawa oleh kerajaan ke Parlimen.

No comments: