Thursday, August 21, 2008

Permatang Pauh: SPR didakwa tidak telus

malaysiakini

PKR: 26 nama dikeluar dari daftar pemilih

Muda Mohd Noor Aug 21, 08 12:17pm

PKR mengesan 26 nama pengundi berusia 100 tahun ke atas telah dikeluarkan dari daftar pemilih yang diberi oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kepada calon parti yang bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, kata Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, daftar pemilih tersebut diserahkan oleh SPR pada hari penamaan calon pada 16 Ogos lalu.

"Kita mahu tahu bagaimana nama 26 orang tersebut dikeluarkan daripada daftar pemilih tanpa rang daftar dipamerkan," katanya dalam satu sidang akhbar di Yayasan Aman di Penanti, Permatang Pauh pagi ini.

Katanya, mengikut peraturan SPR, rang daftar pemilih perlu dipamerkan selama tujuh hari untuk disemak oleh pengundi.

"Saya ingin bertanya bilakah SPR menjalankan proses ini (mempamerkan rang daftar pemilih). Nama 26 pengundi tersebut masih ada dalam daftar pemilih pilihanraya umum 8 Mac lalu," katanya.

Beliau berkata, pemutihan senarai pemilih perlu dibuat dalam tempoh enam bulan, tetapi kini baru mencapai lima bulan.

Saifuddin bertanya bilakah nama pemilih terbabit dikeluarkan dari senarai daftar tersebut.

"Tidak guna parti politik mematuhi semua peraturan pilihanraya tetapi dalam bahagian yang paling penting, iaitu senarai pendaftar pemilih, ia tidak dipatuhi.

"Isunya, nama yang hilang itu, telah menimbulkan keraguan kepada kita," tambahnya.

Katanya, PKR akan terus membuat siasatan terhadap nama dalam daftar pemilih untuk diselesaikan dalam beberapa hari lagi.

"Kita tahu nama lokasi dan DUN (kawasn undangan negeri) 26 nama yang hilang dari daftar pemilih," katanya.

No comments: