Thursday, August 21, 2008

Permatang Pauh: 'Jaguh' UMNO bersuara


malaysiakini

Khairy: Kita 'kuburkan' politik Anwar

Beh Lih Yi Aug 21, 08 2:34pm

Barisan Nasional (BN) bukan sahaja akan mengalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, tetapi akan turut 'menguburkan' karier politiknya.

Itulah azam Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam satu ceramah di Seberang Jaya malam tadi.Beliau memberitahu para hadirin bahawa pilihanraya kecil Permatang Pauh akan menentukan masa depan negara.

Dalam ceramah selama 30 minit itu, Khairy berkata, cabaran sebenar bagi calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah ialah untuk menamatkan karier ketua pembangkang yang 'gila kuasa'.

Oleh itu, katanya, BN akan menguburkan karier politik Anwar supaya masa depan negara ini bebas dan selamat daripada penasihat PKR itu.

Dalam ucapannya itu, Khairy turut membidas pemimpin pembangkang itu, termasuk rancangan Anwar untuk menubuhkan kerajaan.

Beliau juga turut menyentuh tentang hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan tuduhan liwat terhadap penasihat PKR itu.

Merujuk kepada penahanan dua exco kerajaan negeri Perak oleh BPR semalam, Khairy membidas parti pembangkang sebagai tidak konsisten dalam kempen mereka membasmi rasuah.


'Sumber perbelanjaan'

Khairy turut menyentuh kontrak bernilai lebih RM15 bilion yang didakwanya diberi oleh Anwar kepada para kroninya tanpa tender, sewaktu mantan timbalan perdana menteri berada dalam kerajaan.

Khairy yang juga menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut meminta Anwar mendedahkan sumber perbelanjaannya untuk menghadapi pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Katanya, beliau bimbang jika Anwar terpilih sebagai wakil rakyat dan menubuhkan kerajaan pusat, penasihat PKR itu akan menjual negara ini kepada Amerika Syarikat.

Oleh itu, kata Khairy, beliau mahu tahu dari mana datangkan dana untuk membiayai jentera pilihanraya Anwar.

Ahli Parlimen Rembau itu juga mengulangi cabarannya terhadap Anwar supaya mengangkat sumpah untuk membuktikan dia tidak bersalah terhadap tuduhan liwat ke atasnya.

Pada 28 Jun lalu, bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan telah memfailkan laporan polis, mendakwa dia telah diliwat oleh Anwar. Anwar kemudiannya didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii ke atas Saiful.Jumaat lalu, Saiful, 23, mengangkat sumpah dengan al-Quran bahawa dia telah diliwat oleh penasihat PKR itu.

Anwar telah menafikan tuduhan tersebut dan menganggapnya satu konspirasi politik terhadapnya. Beliau turut menyifatkan tindakan Saiful mengangkat sumpah tersebut, sehari sebelum hari penamaan calon pilihanraya Permatang Pauh, sebagai satu gimik politik.

No comments: