Thursday, August 21, 2008

Isu rasuah: Komen Tok Guru Presiden

sinar harian
[Edisi Selangor & K. Lumpur - Khamis, 21hb Ogos 2008]


PAS sokong tindakan BPR.

SERDANG - Pas mengalu-alukan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat penyelewengan yang berlaku di negeri bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) termasuk tiga negeri di bawah naungannya.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, BPR seharusnya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap negeri terbabit, tetapi ia mestilah bersifat adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Saya mengharapkan BPR telus di semua negeri, bukan sahaja negeri di bawah PR, tetapi juga melibatkan Kerajaan Pusat,” katanya kepada media selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini, semalam.

Turut hadir mengiringi beliau ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa.Kelmarin, enam termasuk dua exco Perak ditahan BPR dipercayai terlibat menerima rasuah kewangan dan seks berhubung satu projek perumahan di Seri Iskandar, Perak.

Siasatan awal BPR mendapati sejumlah wang telah dibayar kepada mereka yang terlibat dan dianggarkan nilai suapan melebihi RM100,000.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Abdul Hadi berkata, kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) seharusnya menunjukkan contoh yang betul kepada negeri PR terutamanya pimpinan parti Keadilan (PKR) yang baru memerintah.

Ditanya adakah kejadian tersebut mempengaruhi pengundi di Permatang Pauh, Abdul Hadi berkata, ia menjadi perkara biasa bagi rakyat Malaysia sebelum adanya pilihan raya.

“Rakyat Malaysia dah kalis. Kes Tan Sri Eric Chia yang melibatkan berbilion ringgit juga berlaku masa pilihan raya. Tetapi kes ini hanya beberapa ribu ringgit sahaja. Bagaimanapun ia tetap salah dari segi moral walaupun seringgit,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Abdul Hadi beliau enggan menuduh sesiapa berhubung kejadian tersebut walaupun sesetengah berpendapat ia ada kaitan dengan pilihan raya Permatang Pauh yang akan berlangsung 26 Ogos ini.

“Saya tidak mahu tuduh, sebab sebelum ini pun Ketua Pengarah Imigresen dan beberapa kes (penangkapan) lain turut berlaku,” katanya.

No comments: